Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli Kuala Koh bakal dapat elektrik


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





GUA MUSANG, 14 Nov -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melaksanakan kemudahan bekalan elektrik 24 jam untuk dinikmati 53 keluarga penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh awal tahun depan. 

Ketua Perkhidmatan Pengguna TNB Negeri Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim berkata pelaksanaan projek bernilai RM2 juta itu sudah dipersetujui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang turut menyediakan peruntukan terbabit demi keperluan penduduk Orang Asli di luar bandar. 

Beliau berkata projek itu akan dimulakan awal tahun depan dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan sebelum kemudahan itu dapat dinikmati penduduk kaum itu yang sudah lama ketinggalan. 

Katanya, walaupun pelaksanaan kemudahan itu sepatutnya bermula akhir tahun ini tetapi disebabkan banyak halangan terutama cuaca yang tidak menentu di musim tengkujuh adalah lebih baik ditangguh dan dimulakan pembinaan awal tahun depan. 

"Tempoh enam bulan itu tidak lama dan mungkin lebih awal daripada itu untuk disiapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Komuniti Peringkat Negeri Kelantan Kampung Orang Asli di Kuala Koh, di sini  hari ini. 

Pada program sama beliau menyerahkan replika cek RM17,700 kepada pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah, Muhamad Yusniza Ghani untuk projek kecil kemudahan kaum itu termasuk membina kolam ikan, bangsal bersewang dan gelanggang sepak takraw. 

Muhamad Azli berkata banyak faedahnya untuk keperluan penduduk kaum itu menikmati elektrik 24 jam termasuk penggunaan peralatan elektrik di rumah selain menaik taraf kehidupan mereka. 

Katanya, selain itu, penggunaan keperluan bekalan air bersih menerusi projek telaga tiub juga memerlukan tenaga elektrik 24 jam bagi menggantikan penggunaan generator sebelum ini yang memerlukan kos tinggi. 

Beliau mengakui baru-baru ini pihaknya juga sudah selesai membina kemudahan bekalan elektrik 24 jam untuk 21 keluarga penduduk Orang Asli di tiga kampung dekat Kuala Betis termasuk Kampung Timjing, Guling dan Kampung Dipat. 

"Mereka juga paling istimewa apabila tidak perlu membayar bil bulanan jika gunakan bawah RM40 sebulan kerana kerajaan yang tanggung selepas didaftar bawah e-kasih," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     

Dewan Negara: LPT2 catat 246 kes kemalangan maut dari Januari 2016-Oktober 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel