Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





JERANTUT, 14 Nov -- "Walaupun nakal, kami cukup hormat dengan guru,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semasa mengimbas kenakalan beliau semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut di sini, selama lima tahun bermula tahun 1966. 

Abdul Hamid yang mula bersekolah di situ pada darjah dua, selepas ayahnya yang merupakan konstabel ditugaskan di Balai Polis Jerantut, mengakui beliau agak nakal, namun semuanya hanya melibatkan kenakalan biasa seperti kanak-kanak sebayanya.

Katanya beliau dan rakan juga selalu memanjat pokok mangga, menangkap ikan di sungai, mencari ikan laga di parit kecil, suka menangkap labah-labah selain sering bermain bola sepak, 'polis-sentri' dan galah panjang manakala hobinya mengumpul setem.

“Kami amat takut dan hormat pada ibu bapa. Kami tidak pernah melepak sampai tengah malam ...malah waktu itu juga (keluarga) saya susah sehingga tidak mampu membeli basikal. Kami ditanam dengan sikap takut kepada polis, sehinggakan saya sendiri sebagai anak polis, cukup takut dengan polis," katanya. 

Abdul Hamid menceritakan kisah kehidupannya itu semasa berucap pada Majlis Graduasi SK Jerantut  sini hari ini, yang turut dihadiri kawan baiknya Tajurudin Mat Noh dan guru kelas mereka semasa darjah enam K. Murugiah. 

Katanya hubungan sesama rakan sekolah juga amat rapat seperti adik-beradik menyebabkan walaupun tinggal di berek polis, beliau sering berkunjung ke rumah rakan-rakan di beberapa perkampungan berhampiran pada waktu petang. 

Menurut Abdul Hamid, menjadi kebiasaan untuk mereka sama-sama membuka bekal di padang sekolah pada waktu rehat, selain saling berkunjung pada setiap musim perayaan, sehingga menjadikan hubungan itu terus terjalin sehingga hari ini. 

Sementara itu, Tajurudin yang berasal dari Kampung Baru di sini,  berkata beliau mulai akrab dengan Abdul Hamid sejak darjah dua sehingga mereka sama-sama tinggal di asrama selepas mendapat peluang menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman di Bentong, dekat sini pada tahun 1971. 

Tajurudin, 61, yang mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pembinaan di Bandar Baru Bangi, Selangor menyifatkan Abdul Hamid sebagai rakan yang sangat baik dan oleh kerana ketika itu kedua-duanya susah, mereka sering berkongsi apa sahaja makanan yang ada. 

"Bukan hanya makan mi segera, jika makan karipap pun kami akan bahagi dua. Tapi paling saya ingat, ada satu malam, Abdul Hamid mengejutkan saya daripada tidur sekitar 3 pagi dan beritahu beliau lapar. 

"Jadi beliau minta saya untuk teman beliau ke dapur dewan makan... di sana, beliau masak nasi goreng sendiri dan saya juga tumpang sekaki makan," katanya yang pernah dilantik sebagai ketua kelas dengan Abdul Hamid sebagai penolong semasa di darjah enam. 

Murugiah, 71, pula berkata Abdul Hamid antara murid terawal beliau memandangkan SK Jerantut adalah sekolah pertama tempat beliau bertugas dengan mengajar pelbagai subjek seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. 

Beliau yang kini menetap di Alor Setar, Kedah selepas bersara pada 2002 menyifatkan Abdul Hamid yang juga ketua Pasukan Rumah Merah sekolah sebagai seorang yang sangat rajin, sopan, berbudi bahasa dan bertanggungjawab. 

"Walaupun sudah memasuki sekolah menengah, beliau tetap rajin bertanya khabar guru di sini. Bukan hanya beliau, malah rakan-rakan sekelasnya juga begitu menjadikan hubungan kami terjalin sehingga sekarang," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel