Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat program NCIA bantu perkasa ekonomi rakyat


Tarikh kemaskini: 14/11/2019





BUKIT MERTAJAM, 14 Nov -- Kepimpinan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan sentiasa mencari jalan keluar dan penyelesaian dalam usaha menangani masalah peningkatan kos hidup yang sering membelenggu rakyat masa kini, bagi memastikan pembangunan secara keseluruhannya dapat dinikmati setiap rakyat, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi tujuan itu adalah dengan penubuhan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) khusus bagi menyelaras dan mempercepatkan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang menampilkan program-program dan inisiatif baharu dalam menyantuni rakyat.

“Program-program ini adalah inisiatif baharu dalam menyantuni rakyat ke arah pembangunan menyeluruh bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, peluang keusahawanan dan peningkatan isi rumah yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di negeri ini.

"Empat program dilaksanakan khusus bagi memperkasa golongan belia, wanita dan ibu tunggal, para pengganggur serta usahawan mikro di bawah kelompok kumpulan pendapatan isi Rumah B40," katanya semasa berucap merasmikan majlis pelancaran Program-program Modal Insan: Menyemarak Kemakmuran, Memperkasa Rakyat di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurutnya program-program itu terdiri daripada empowerNCER, entrepreneurNCER, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Mudahcara Bumiputera (DMB).

Chow berkata program empowerNCER disasar bagi melahirkan komuniti berpendapatan tinggi, di mana ia dirangka bagi memberi kemahiran asas melalui komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dalam pelbagai bidang seperti spa kecantikan, pembaikan komputer riba dan telefon bimbit, asas jahitan, masakan serta kulinati dan dandanan rambut.

"Proses pengambilan peserta khusus dari kumpulan B40 sedang dilaksanakan dengan kerjasama erat dan bantuan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di mana fasa ini akan melibatkan penglibatan peserta seramai 200 orang, manakala fasa 2 akan dteruskan di daerah lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata program entreprenuerNCER pula memberi latihan keusahawanan dan kemahiran yang akan memfokuskan kepada kelompok usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Bagi tujuan ini, NCER mewujudkan kerjasama strategik dengan Agrobank dan Maybank untuk memberi bantuan dari segi pinjaman pembiayaan kewangan dan khidmat bimbingan kepada usahawan yang hendak mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti. Sehingga kini, 28 permohonan telah diterima dan sedang diproses,” katanya.

Sementara itu, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dilaksanakan bagi memastikan tenaga kerja mahir cukup untuk memenuhi keperluan industri serta meningkatkan  peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan tempatan di NCER.

Chow berkata program Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) pula diperkenalkan sebagai sokongan berbentuk kewangan kepada usahawan-usahawan bumiputera  sebagai pemangkin kepada syarikat dalam pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi.

“Sehingga kini sebuah syarikat dalam bidang pembuatan dan sebuah lagi syarikat dalam sektor pertanian dan bio-industri di Seberang Perai telah diluluskan. Susulan itu, RM36.97 juta pelaburan akan dijana dengan 117 peluang pekerjaan diwujudkan serta mencipta 60 peluang keusahawanan dan pekerjaan  sebagai limpahan di negeri kita,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel