Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





TAWAU, 15 Nov -- Tiga lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki atau bersubahat memiliki dua gading gajah borneo iaitu haiwan yang dilindungi.

Tertuduh, Paranchoi Nordin, 59, Abdullah Simin, 68, dan Martin Alok, 44 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka dengan niat memiliki atau bersubahat memiliki dua gading Gajah Borneo, spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa kebenaran bertulis daripada menteri yang bertindak atas nasihat pengarah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Felda Umas 4 dan Kampung Felda Umas, Kalabakan antara 12.20 tengah malam hingga 12.30 tengah hari pada 2 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(4)(a) Enakmen sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Hidupan Liar, Syarifuddin Abdul Rasa dan dibantu Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan semula kes itu.

Ketika menetapkan tarikh berkenaan Hakim Awang Kerisnada berkata tiada isu ikat jamin bagi ketiga-tiga tertuduh kerana kesemuanya sedang menjalani hukuman penjara di Tawau.

Beliau turut memerintahkan agar Martin yang akan dibebaskan pada 27 Nov ini perlu ditahan semula serta merta di bawah Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 22 Okt lepas,  Paranchoi dan Abdullah dihukum penjara dua tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, manakala Martin yang juga warga Indonesia dihukum penjara dua bulan dan  dua sebatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pada 15 Okt lepas.

Mereka antara enam suspek berumur antara 44 hingga 68 tahun yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan kejam seekor gajah Borneo di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, pada September lepas.

Bangkai gajah betina itu ditemui sekumpulan pemancing di dalam air, dengan gajah itu dalam keadaan terikat dipercayai bagi mengelakkan haiwan mamalia besar itu hanyut.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel