Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua anggota Geng Fahmi terbabit 14 kes samun ditahan


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





TAIPING, 15 Nov -- Geng Fahmi yang aktif menyamun dengan menyamar sebagai polis sejak awal tahun ini, tumpas dengan penangkapan dua anggotanya termasuk seorang anggota tentera berpangkat koperal pada akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata anggota tentera yang lari daripada tugas lebih tiga bulan itu dikenali sebagai Andy berusia lingkungan 30-an ditahan di Jalan Istana Larut pada 10 pagi, 31 Okt manakala rakannya dikenali Emie Toyol, 30-an ditahan di tepi Jalan Lorong Indah 1, Simpang pada 12.45 tengah malam, 27 Okt lepas.

Kedua-dua mereka ditahan menerusi Ops Rentap Khas Geng Fahmi yang dijalankan mulai 11 Okt sehingga 11 Nov lepas khusus untuk memburu anggota kumpulan itu, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini..

Katanya, siasatan mendapati geng itu telah terlibat dengan 14 kes samun dengan menyamar sebagai polis, memecah rumah, kedai dan tokong serta mencuri kenderaan di tiga daerah iaitu Taiping, Kerian dan Tapah.

“Modus operandi kumpulan itu menyasarkan mangsa yang  berseorangan lalu meminta mangsa menyerahkan wang dan barang berharga sebelum melarikan diri,” katanya.

Osman berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z, satu unit gari, sehelai jaket keselamatan polis, satu topi berlogo polis, heroin seberat tiga gram, tiga bilah pisau, dua topi keledar, dua sarung muka, dua batang pemutar skru dan sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata ketua ‘Geng Fahmi’ yang dikenali sebagai Mohamad Fahmi Shaafie, 31, daripada Felda Ijok, Selama, masih bebas.

Katanya, Mohamad Fahmi mempunyai 12 rekod lampau jenayah dan dadah manakala Andy mempunyai satu rekod dadah dan Emie Toyol dengan tujuh rekod dadah dan jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

 Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping, di sini, semalam manakala orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamad Fahmi diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

 -- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel