Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekalan air Orang Asli terputus semula angkara gajah liar


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





GUA MUSANG, 15 Nov -- Lebih 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5 di sini,  yang baru dua hari dapat menggunakan keperluan air tadahan bukit selepas siap dibaiki, rosak semula pagi ini angkara perbuatan sekumpulan gajah liar. 

Kejadian kemudahan air tadahan bukit dimusnahkan sekumpulan gajah liar itu berlaku buat kali kedua dalam tempoh 10 hari ini hingga menimbulkan masalah kepada penduduk, selain mengancam keselamatan mereka. 

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) kampung Aring 5, Asrul Hussin berkata, kejadian terbaharu tangki dan paip air tadahan bukit dirosakkan gajah liar itu dipercayai berlaku kira-kira 6.30 pagi ini. 

Penduduk mengetahui kejadian itu apabila bekalan air tadahan bukit yang mereka guna tiba-tiba terputus sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati tangki bersama paip pecah kerana dipijak gajah dipercayai dari kumpulan sama yang berlaku 4 Jun lepas. 

Beliau berkata, air tadahan bukit itu baru dua hari siap dibaiki penduduk secara bergotong-royong dan pagi ini rosak semula yang memerlukan masa untuk membaikinya kerana banyak paip yang telah pecah dipijak gajah. 

Asrul berkata, pembaikian tangki dan paip pecah dalam kejadian pertama itu juga masih belum sempurna dan sambungan paip itu juga sekadar untuk penggunaan sementara kerana banyak yang pecah perlu ditukar baharu. 

"Tetapi, belum sempat ditukar baharu sudah berlaku serangan gajah kali kedua hingga menambahkan kos pembaikian berikutan banyak paip untuk menyalurkan air ke rumah penduduk pecah dan tidak lagi boleh digunakan," katanya.

Tok Batin Kampung Aring 5, Raina Anjang pula mengakui sekumpulan tujuh gajar liar itu semakin kerap memasuki kawasan kampung ini dan selain memusnahkan tangki dan paip tadahan air bukit, tanaman penduduk juga turut dimusnahkan.

Beliau berkata, gotong-royong yang dilakukan penduduk untuk membaiki kemudahan air tadahan bukit itu yang dirosakkan akibat diserang gajah 4 Jun lepas mengambil masa sehari suntuk Rabu lepas dan hanya dapat diguna air itu dua hari sahaja. 

"Pagi ini terputus semula dan penduduk juga akan meneliti semula tangki dan paip yang pecah kali kedua dipijak gajah itu sama ada boleh digunakan semula atau terpaksa dibuang untuk digantikan dengan paip baharu," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel