Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Urus ekonomi baharu, masyarakat jangan takut pada data dan statistik


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





KOTA BHARU, 15 Nov -- Masyarakat tidak perlu takut dengan data dan statistik kerana ia boleh membantu pengurusan pendapatan individu dan keluarga serta mewujudkan ekonomi baharu.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata ramai masyarakat dilihat kurang kesedaran dan minat terhadap data sedangkan ia memberi banyak kebaikan termasuk untuk pembangunan masa hadapan.

Sehubungan itu katanya, UiTM bersama Jabatan Statistik Malaysia Negeri Kelantan (DOSM) tampil dengan pelbagai program sebagai usaha memberi pendedahan mengenai data kewangan, perniagaan, populasi penduduk dan jantina kepada masyarakat.

"UiTM Cawangan Kelantan menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) juga penubuhan Kelab Pelajar Sarjana Muda Statistik (Comobista) serta Kelab Pelajar Diploma Statistik (iTechq) tampil bersama dalam menyokong orang ramai menghadapi ekonomi baharu.

Pengetahuan mengenai data sangat berguna untuk pembangunan masa depan, apatah lagi bagi mereka yang bekerja dengan organisasi besar dan perlu membuat keputusan melibatkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program 'Stat's Fun Run 2019' yang dianjurkan sempena sambutan Hari Statistik Negara 2019 yang turut dihadiri Pengarah DOSM Kelantan, Zuraidy Zainal Abidin dan Penolong Rektor UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu Prof Madya Dr Mohamad Safri Ya.

Sebanyak 500 peserta menyertai larian sejauh lima kilometer melibatkan penuntut dan kakitangan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu serta kakitangan DOSM Kelantan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata keperluan dalam bidang data dan statistik adalah tinggi dan beliau berharap penuntutnya dapat mengaplikasikan pengajian dalam bidang itu ke dalam kerjaya setelah tamat pengajian.

"Keperluan kerja dalam bidang ini sangat tinggi, yang mana graduan boleh menjadi penganalisis data, malah semua organisasi pada masa ini memerlukan pegawai yang berkemahiran menganalisis data, jadi kami mengalu-alukan mereka yang ingin belajar sepenuh masa atau mengikuti kursus jangka pendek.

"Lebih mengagumkan lagi, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu turut memiliki Pusat Kajian dan Makmal Data Raya sendiri, yang mana ia digunakan bagi tujuan latihan dan membangunkan kepakaran data analitik kepada penuntut," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel