Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

1,341 pegawai, anggota polis bertugas pada hari mengundi esok


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





PONTIAN, 15 Nov  -- Sejumlah 1,341 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menjamin kelancaran hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata kesemua mereka melibatkan pegawai dan anggota pelbagai jabatan termasuk jenayah, trafik dan cawangan khas yang ditugaskan menjaga keselamatan serta kawalan lalu lintas.

"Daripada apa yang kita (polis) laksanakan ini, kita berharap pengundi-pengundi tidak akan risau dan gusar untuk keluar mengundi di 27 pusat mengundi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan DUN Kukup ," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Mustafa Bakri berkata tiga jalan di kawasan pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, akan ditutup mulai 8 pagi esok sehingga urusan penjumlahan undi dan pengumuman kemenangan calon selesai.

Beliau berkata ketiga-tiga jalan adalah Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan manakala sebagai alternatif, para pengguna boleh melalui Jalan Bakek, Jalan Alsagoff dan Jalan Parit Mesjid.

Katanya, sejak tempoh berkempen bermula 2 Nov lepas, polis menerima 35 laporan berkaitan pilihan raya itu dan daripada jumlah tersebut, polis membuka lima kertas siasatan membabitkan beberapa kesalahan termasuk menggantung kain rentang berunsur provokasi.

Tiga daripadanya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dua kes lagi mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, katanya.

"Sepanjang tempoh berkempen mulai 2 Nov hingga semalam, kita dapati tiada insiden-insiden besar yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam di mana pihak polis sentiasa memastikan semua kempen berjalan lancar tanpa ada gangguan," katanya.

Mustafa Bakri berkata keseluruhannya, sebanyak 879 permit dikeluarkan pihaknya terhadap parti dan calon sejak 2 Nov sehingga semalam membabitkan 382 permit terhadap Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) (158), Gerakan (129), Berjasa (190) dan Bebas (20).

Beliau turut menasihati para pengundi dan penyokong supaya mematuhi peraturan dan mengikuti arahan yang diberikan pasukan polis yang bertugas agar ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel