Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dakwaan BN menang PRK sekadar perang psikologi 


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





PONTIAN, 15 Nov  -- Dakwaan Barisan Nasional (BN) mendahului Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan ‘majoriti besar’, hanyalah sekadar perang psikologi pada saat-saat akhir kempen, kata Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata hasil kajian sebuah badan pemikir yang dipilih, telah menunjukkan PH mendahului, untuk memenangi kerusi itu.

“Ini ‘psy-war’. Saya dah melalui banyak pilihan raya… ada ramalan-ramalan bahawa satu pihak menang, macam yang lepas pada Pilihan Raya Umum (PRU). Dia kata PH tak boleh menang, tapi yang berlaku sebaliknya.

“Bancian yang kami buat dengan badan pemikir (think tank) yang kami pilih, mereka kata bahawa kita mendahului setakat hari ini. Berapa peratus kita dahului? Itu tak payah saya beritahu tapi bagi saya trend mutakhir inilah yang agak kritikal,” kata beliau kepada pemberita selepas bertemu pemandu-pemandu kenderaan & petugas-petugas ejen tempat undi, ejen kira undi dan barung (PACABA) di Eco Rambah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan berita, yang mendakwa BN dipercayai mendahului sekali gus merampas kerusi parlimen itu daripada PH, dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Menyifatkan masa kempen yang tinggal beberapa jam ini sebagai paling kritikal, beliau berkata jentera PH semakin giat, untuk memastikan masyarakat Tanjung Piai keluar mengundi, sekali gus memberi sokongan kepada calon PH.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan calon PH Karmaine Sardini, bakal menentang bekas ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dari BN-MCA, calon parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Ketika ditanya sama ada PH boleh mendapat majoriti melebihi PRU14 yang lepas, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berharap keputusan akan lebih baik.

“Pada kami, apa yang penting ialah untuk menang. Walaupun… hanya dengan satu undi. Inilah apa yang dikatakan sebagai demokrasi. Yang penting ialah untuk menyakinkan pengundi yang kita boleh lakukan lebih baik daripada yang lain,” katanya.

Muhyiddin berkata secara logiknya, calon PH akan melakukan yang lebih baik dari segi melaksanakan apa yang dimahukan rakyat.

“Itulah yang logik dan pengundi faham kerana mereka mahukan pembangunan, mereka mahukan nelayan dibantu, mereka mahukan infrastruktur ditambah baik kerana Tanjung Piai membangun dengan cepat… siapa yang boleh berikan yang lebih baik daripada calon PH. Ini apa yang kami percaya menarik lebih banyak tarikan kepada calon kami,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel