Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Komitmen selamatkan Ulu Muda mesti disokong melalui perundangan ketat


Tarikh kemaskini: 16/11/2019





GEORGE TOWN, 15 Nov  -- Komitmen yang bersungguh-sungguh untuk “Menyelamatkan Ulu Muda” di Kedah mesti disokong oleh undang-undang ketat yang jelas memperincikan terma, syarat-syarat dan jangka masa dalam konteks perundangan, kata Ketua Pegawai Eksekutuf Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa.

Jaseni, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd, berkata pengumuman pada 4 Sept tahun lepas yang menyatakan bahawa 'pembalakan telah dilarang di Ulu Muda'adalah amat menggalakkan, namun jika ia tidak terikat secara perundangan, ia tidak akan melepasi ujian masa.

"Oleh kerana itu, Ulu Muda belum lagi diselamatkan. Kerajaan Pusat harus mempertimbangkan fakta dan angka yang betul sebelum membuat keputusan yang sihat untuk memulihara dan melindungi Ulu Muda dengan baik dan secara lestari, sebagai kawasan tadahan air “Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) , " katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membuat kenyataan itu selepas diumumkan di Parlimen baru-baru ini bahawa 74.3 peratus hutan hujan di Ulu Muda tidak dilindungi dengan sempurna kerana hanya 15.3 peratus telah diklasifikasikan sebagai hutan tadahan air manakala 10.4 peratus diklasifikasikan sebagai taman hutan negeri.

"Pada 4 Nov, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow membangkitkan soalan di Parlimen jika Ulu Muda telah diwartakan sepenuhnya, memandangkan pentingnya kawasan itu bagi bekalan air di NCER. Dalam jawapannya pada hari yang sama, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah mewartakan 106,418 hektar (ha) hutan Ulu Muda sebagai hutan rizab kekal atau PRF sejak 24 Sept 1932.

"KATS juga menyatakan bahawa pada 10 Mei 2018, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengklasifikasi 16,299 ha dari PRF (15.3 peratus daripada 106,418 ha) sebagai hutan tadahan air dan 11,118 ha (10.4% daripada 106,418 ha) sebagai taman hutan negeri.

"Bagaimanapun, klasifikasi baki 79,001 ha (74.3 peratus daripada 106,418 ha) hutan hujan di Ulu Muda tidak dinyatakan," katanya.

Jaseni juga berkata Kedah mesti diberi pampasan yang sewajarnya sebagai penjaga kawasan tadahan air NCER untuk Ulu Muda dapat dipulihara secara mampan.

Beliau berkata tanpa pampasan yang adil, Kedah akan terus berusaha untuk membuka Ulu Muda untuk mengeksploitasi keuntungan ekonomi.

"Ancaman terhadap Ulu Muda adalah ancaman kepada NCER kerana ia akan menjejaskan bekalan air di tiga negeri NCER.

Kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Pada 2018, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang sejumlah RM150 bilion dalam sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK), menurut anggaran yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, " katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel