Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada trend luar biasa jangkitan saluran pernafasan di Pahang


Tarikh kemaskini: 16/11/2019




KUANTAN, 16 Nov -- Tiada trend luar biasa jangkitan saluran pernafasan atau influenza dikesan di Pahang buat masa ini, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman. 

Beliau juga memberi jaminan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sentiasa memantau rapi bagi mengesan jika berlaku situasi luar biasa jangkitan itu, menerus sistem pemantauan influenza sedia ada. 

Bagaimanapun, Dr Sha'ari berkata pihaknya tetap mengambil langkah kawalan dan pencegahan di beberapa lokasi yang terlibat dengan  tiga kejadian jangkitan saluran pernafasan di Bentong dekat sini, baru-baru ini. 

"Semua fasiliti kesihatan dan hospital berada dalam siap siaga terutamanya yang terletak di Bentong selain perebakan telah dikawal dengan baik dan dipantau secara harian. 

"Nasihat kepada individu dan pendidikan kesihatan secara berkumpulan diberikan kepada pesakit sebagai langkah mengelak penularan jangkitan melalui udara dan sentuhan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkitan saluran pernafasan di Bentong yang tular di media sosial baru-bari ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. 

Kejadian pertama, menurut Dr Sha'ari dikesan pada 5 Nov lalu melibatkan sembilan pesakit Unit Hemodialisis Hospital Bentong yang dijangkiti semasa sesi rawatan yang sama, dengan dua daripadanya masih dirawat di hospital sama manakala seorang lagi dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. 

Manakala pada 12 Nov lalu, 11 pelajar prasekolah dari Sekolah Kebangsaan Mempaga 1, Bentong yang dipercayai dijangkiti bermula cuti hujung minggu, dengan satu lagi kejadian melibatkan 53 kes jangkitan di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikesan pada hari yang sama (12 Nov). 

"Bagaimanapun, semua kes di kedua-dua sekolah berkenaan telah beransur pulih. Semua kejadian ini, sama ada di hospital dan dua sekolah berkenaan juga adalah tidak berkaitan antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel