Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

100 remaja bawah 18 tahun terima rawatan diabetes di HUSM Kubang Kerian


Tarikh kemaskini: 16/11/2019




KOTA BHARU, 16 Nov -- Kira-kira 100 remaja bawah 18 tahun kini mendapatkan rawatan diabetes di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Pakar Perubatan Endokrin Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof Madya Dr Wan Mohd Izani Wan Mohamed berkata, ia disebabkan gaya hidup tidak sihat, kurang melakukan aktiviti luar dan mengambil sajian tinggi gula antara faktor yang menyumbang peningkatan penyakit diabetes membabitkan golongan itu.

“Penyakit diabetes ini satu daripada penyakit yang harus dipandang serius selain penyakit jantung dan angin ahmar kerana ia membabitkan kos rawatan yang tinggi antara RM150 hingga RM300 sebulan bagi pesakit yang mengambil insulin.

“Kos rawatan terhadap pesakit diabetes akan meningkat kepada RM3,000 jika pesakit mengalami kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis sekaligus akan membebankan pesakit serta keluarga jika mereka bukan golongan ditanggung oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hari Diabetes Sedunia (HDS) dan Hari Universiti Sains Malaysia (USM) Bersama Komuniti Sempena 50 Tahun USM di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Penaung Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Datuk Tengku Salwani Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra itu turut dihadiri Pengarah HUSM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, Guru Besar SK Banggu Zakira Che Mahmud dan Ketua Projek HDS Dr Nani Draman yang turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 500 komuniti setempat. 

Wan Mohd Izani, yang juga Pengerusi Persatuan Diabetes Cawangan Kelantan berkata, justeru ia memerlukan kerjasama semua pihak bukan sahaja ibu bapa malah di peringkat sekolah lagi bagi menanam kesedaran mengenai bahaya penyakit diabetes ini supaya pengesanan awal dapat dilakukan sekaligus dapat mengelak komplikasi dan mengurangkan kos rawatan.

Beliau berkata, hampir 50 peratus penyakit diabetes tidak menunjukkan simptom tetapi ia boleh dikesan, dirawat dan dikawal melalui pemeriksaan saringan secara berkala dan mengoptimumkan rawatan diabetes dengan menggunakan ubat atau insulin. 

Sementara itu, Dr Nani Draman berkata HDS buat julung kali telah diadakan di sekolah bagi mendekati komuniti.

“Sebelum ini ia dilaksanakan di pasar raya sekitar negeri ini namun kita lihat ia tidak mencapai golongan sasaran jadi dengan melaksanakannya di sekolah, ia secara tidak langsung dapat memberi kesedaran tentang penyakit diabetes dan dapat mengesannya di peringkat sekolah lagi,” katanya. 

Antara pengisian program sehari bersama komuniti itu ialah pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma, kalibrasi glukometer dan pertandingan memasak menu sihat. 

-- BERNAMA

 

 

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel