Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wisma Putra terus pantau keadaan di Bolivia


Tarikh kemaskini: 16/11/2019





KUANTAN, 16 Nov  -- Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan terkini di Bolivia berikutan ketegangan politik yang melanda negara berkenaan ketika ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata jika ada rakyat Malaysia di negara itu, mereka diminta berhubung dengan pihak kedutaan secepat mungkin meskipun berdasarkan rekod, tiada rakyat negara ini menetap di negara Amerika Selatan itu.

Katanya, Wisma Putra akan cuba sedaya upaya memastikan keselamatan dan membantu rakyat Malaysia yang ingin meninggalkan negara terbabit.

"Seperti kebiasaannya kita akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai apa yang berlaku di sana  sebelum mengambil langkah seterusnya. Saya belum mendapat maklumat penuh dan kita akan terus memantau dari semasa ke semasa.

"Nasihat saya, jika ada rakyat Malaysia berada di sana ketika ini, segera hubungi Malawakil (wakil kedutaan Malaysia) bagi mendapatkan nasihat dan bantuan lain untuk memastikan keselamatan mereka lebih terjamin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Olimpik Istimewa Pahang di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, di sini hari ini.

Seramai 150 kanak-kanak kurang upaya dalam aspek pembelajaran menyertai pelbagai acara sukan yang diatur pada program tersebut.

Media sebelum ini melaporkan Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan apabila penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya presiden pada Oktober lepas yang menyaksikan bekas Presiden Evo Morales mengumumkan kemenangannya bagi penggal keempat sebelum dipaksa meletak jawatan pada Ahad lepas setelah menerima tekanan daripada pihak tentera dan polis.

Seorang rakyat Malaysia, Muhammad Syameen Abd Raub, 28, dilaporkan sedang berada di La Paz, Bolivia untuk bercuti dan bercadang meninggalkan negara itu menerusi penerbangan ke Argentina hari ini.

Pegawai Konsular kedutaan Malaysia di Peru, Syed Ahmad Naufal Syed Isa pada Khamis lepas mengeluarkan kenyataan menasihatkan rakyat Malaysia menangguh perjalanan ke negara itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel