Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelancaran 5G mungkin bermula pertengahan tahun depan - Gobind


Tarikh kemaskini: 16/11/2019





JASIN, 16 Nov  -- Pelancaran teknologi 5G berkemungkinan bermula pada pertengahan tahun depan di kawasan dan industri yang memerlukan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pelancaran teknologi 5G itu tidak akan memberi tumpuan kepada negeri tertentu, sebaliknya fokus kepada kawasan dan jenis industri tertentu.

"Teknologi 5G ini telah memulakan projek rintis bulan Mei lepas yang mana laporan awal telah dikemukakan kepada kita, sekarang kita tunggu laporan lengkap (projek rintis itu). Apabila (laporan itu) dikemukakan, saya akan bawa ke kabinet.

"Kita perlukan sebuah polisi nasional untuk lancarkan (teknologi 5G) kemungkinan besar pertengahan tahun depan, ia suatu perkara boleh berlaku tetapi fokus kepada kawasan dan industri memerlukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Rumah Digital Anjung Gapam di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan turut hadir  Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee, serta Pengerusi Telekom Malaysia Berhad Rosli Man.

Sementara itu, Gobind berkata usaha kerajaan melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagaikan membina lebuh raya digital yang membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi kepada penduduk luar bandar.

Beliau berkata melalui NFCP penduduk luar bandar terutama yang tinggal di kawasan terpencil memperoleh infrastruktur digital seperti kawasan bandar yang membolehkan mereka menikmati kemakmuran bersama menerusi ekonomi digital.

"NFCP menyediakan saling hubungan mampan yang menyeluruh dan mampu milik bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kemakmuran negara. Ini adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan kerajaan untuk rakyat," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata perkembangan pesat kemudahan internet telah menyebabkan ia menjadi penting seperti kemudahan asas air dan elektrik malah kini kemudahan asas itu memerlukan internet untuk diurus, justeru beliau mahu setiap rakyat di negara ini memiliki akses kepada internet.

Katanya sekiranya harga kemudahan itu diturunkan dan kualiti ditingkatkan lebih ramai rakyat dapat memilikinya, malah menurut laporan Bank Dunia dalam tempoh enam bulan pertama penurunan harga pakej internet baru-baru ini terdapat peningkatan 21 peratus permintaan internet jalur lebar talian tetap.

"Hidup setiap rakyat akan berubah apabila menggunakan internet, kita tidak mahu ada perbezaan antara rakyat ada akses dan tiada akses kepada internet. Pada saya internet ini bukan sahaja kemudahan asas tetapi memperkasa semua pengguna dalam kalangan rakyat daripada segi pengetahuan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel