Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

BN tawan kembali Tanjung Piai


Tarikh kemaskini: 16/11/2019





PONTIAN, 16 Nov  -- Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada pukul 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal  daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi  mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara  calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Daripada jumlah 38,815 undi yang diterima, 595 undi ditolak manakala 30 undi tidak dikembalikan.

Wee, 55, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai bermula 2008 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan 524 undi.

Pada PRU lepas, pakar bius itu yang menghadapi pertandingan tiga penjuru dan memperoleh 21,255 undi, manakala Wee memperolehi 20,731 undi dan Nordin Othman (PAS-Berjasa) meraih 2,962 undi.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia pada 21 Sept lepas di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas kerajaan PH memenangi PRU-14, Mei tahun lepas.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun berkata PRK kali ini mencatatkan peratusan keluar mengundi 74.5 peratus, iaitu peratus keluar mengundi kedua tertinggi selepas PRK Dewan Undangan Negeri Rantau sebanyak 79 peratus.

Terdapat 52,471 pengundi di kawasan parlimen berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel