Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bangkai gajah ditemukan di Kinabatangan mempunyai kolar satelit


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





KINABATANGAN, 16 Nov  -- Bangkai gajah pygmy yang ditemukan di Kinabatangan hari ini mempunyai kolar satelit yang dipakaikan pada leher haiwan itu dengan identifikasi "Girang".

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata bangkai gajah tersebut ditemukan di sebuah ladang sawit dekat sini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 5.50 pagi tadi.

"Pekerja itu (lelaki) memberitahu pengurus ladang dan kedua-dua mereka kemudian sama-sama ke tempat bangkai gajah itu ditemukan.

"Daripada pemerhatian, mereka mendapati bangkai sudah berbau busuk dengan beberapa ekor biawak sedang memakan bangkai dan di leher bangkai gajah terdapat kolar," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tuuga berkata pengurus ladang berkenaan kemudiannya memaklumkan JHL, yang menghantar sepasukan pegawai bersama polis, Jabatan Perhutanan, dan Danau Girang Field Centre untuk menyiasat.

Menurutnya, siasatan mendapati jantina gajah adalah betina dan tidak mempunyai kesan kecederaan mahupun tembakan.

Namun, beliau berkata kematian gajah disyaki disebabkan keracunan, yang menyebabkan kegagalan organ.

Tuuga berkata beberapa sampel diambil daripada gajah itu untuk dianalisis di Jabatan Kimia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, katanya.

Penemuan bangkai gajah itu merupakan yang keempat sejak 25 Sept lepas dengan yang pertama ditemukan dengan kesan tembakan di Kalabakan, Tawau.

Bangkai gajah kedua juga ditemukan dengan kesan tembakan di sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Okt, manakala yang ketiga ditemukan terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 Nov.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel