Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh pelajar direman masih boleh duduki peperiksaan SPM, dalam lokap


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





TAWAU, 16 Nov  -- Kesemua tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di sini yang ditahan reman hari ini bagi siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah sama, masih boleh menduduki peperiksaan SPM di dalam lokap.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dr Mistirine Radin berkata esok Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan berhubung dengan balai polis di mana pelajar itu ditahan reman.

"Pelajar masih boleh menduduki peperiksaan SPM semasa tahanan reman. Kami pun baru dapat maklumat tentang penahanan mereka hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Mistirine pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menangani kes itu.

"Kejadian ini amat menyedihkan kerana berlaku dalam kawasan sekolah," katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan pengawal keselamatan sekolah agar melaksanakan rondaan dalam kawasan sekolah sepertimana ditetapkan dalam kontrak perkhidmatan bertujuan mengelak kejadian tidak diingini atau seumpamanya berlaku.

Selain itu, katanya pihak pengurusan sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik-bilik yang berisiko untuk disalah guna pelajar.

Beberapa media hari ini melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel