Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Musim tengkujuh bonus kepada penanam ubi di Kelantan


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





TANAH MERAH, 17 Nov -- Musim tengkujuh merupakan 'bonus' kepada pekebun kecil yang menanam pelbagai jenis ubi di Kelantan apabila tanaman terbabit mendapat sambutan daripada masyarakat dan peraih sehingga ia popular di negeri ini.

Tidak hairan jika begitu banyak gerai-gerai kecil dan khemah didirikan oleh masyarakat khususnya pekebun kecil untuk menjual pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, ubi keledek termasuk labu bagi menambah pendapatan.

Seorang peniaga Fatin Farahiyah Kamarul Zaman, 27, berkata bermula dari bulan November sehingga Mac tanaman itu laku dijual kerana mendapat permintaan tinggi berikutan dijadikan makanan sampingan seperti kuih cek mek, putu halba, masakan gulai dan lain-lain.

"Keluarga saya juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan itu untuk menjual pelbagai jenis ubi pada musim hujan sejak 15 tahun lalu," katanya kepada Bernama di Kampung Paloh di sini.

Tinjauan Bernama di kampung tersebut yang terletak berdekatan Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, mendapati hampir 20 gerai menjual pelbagai jenis ubi dengan harga serendah RM3 sehingga RM6 sekilogram.

Fatin Farahiyah berkata dengan menjual pelbagai jenis ubi, keluarganya mampu memperoleh hasil jualan RM200 sehingga RM300 sehari.

"Antara ubi yang paling mendapat sambutan ialah ubi kayu kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan biasa direbus serta dimakan dengan kelapa.

“Bekalan pelbagai jenis ubi ini saya peroleh daripada penduduk setempat dan tanam sendiri di tanah seluas 1 ekar (0.405 hektar) terletak di belakang rumah saya,” katanya.

 Sementara itu, pekebun kecil Mohd Noor Josoh, 55, berkata sejak 10 tahun lalu apabila tiba musim tengkujuh beliau boleh menarik nafas lega untuk mendapat lebih pendapatan bagi menyara keluarganya.

"Musim hujan saya tidak boleh menoreh oleh itu saya mengambil inisiatif tanam pelbagai jenis ubi seperti ubi badak, ubi kayu, keledek dan kemiling di tanah milik saya seluas dua ekar (0.809 hektar) di samping menyewa tanah terbiar milik jiran.

"Saya jual kepada peniaga dan peraih ubi antara RM3 sehingga RM5 sekilogram, wang hasil jualan RM500 sehingga RM2,000 sedikit sebanyak dapat membantu menyara keluarga selain digunakan untuk persiapan anak-anak sekolah," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel