Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sumbangan Bernas ringankan beban keluarga asnaf di Kota Marudu


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





KOTA MARUDU, 17 Nov -- Keluarga asnaf di Kampung Salimandut, dekat sini berterima kasih kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) atas sumbangan bantuan wang zakat RM500, kotak barangan makanan serta beg sekolah untuk anak-anak sekali gus menyifatkan sumbangan itu memberi makna berharga kepada mereka dalam meringankan beban yang ditanggung.

Bantuan disumbangkan Bernas melalui Beras Corporation Sdn Bhd (BCSB) itu disampaikan oleh Ketua Jabatan Operasi Malaysia Timur (Sabah) BCSB Jasnih Daya kepada seramai 50 penerima dalam kalangan keluarga asnaf pada Program Kenduri Sekampung yang diadakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat agensi berkenaan, semalam.

Bagi seorang suri rumah Noranissa Mohd Sha, 25, bantuan wang zakat itu sangat bermakna kepada dia dan suaminya yang hanya bekerja sebagai petani terutama dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka tahun hadapan.

“Bantuan wang zakat ini bagi membeli keperluan sekolah, baju dan buku untuk anak saya yang akan mendaftar masuk ke darjah satu tahun hadapan. Terima kasih kepada Bernas kerana bantuan ini dapat meringankan beban kami,” kata ibu kepada tiga anak masing-masing seorang lelaki dan dua perempuan ketika ditemui Bernama selepas menerima bantuan tersebut.

Seorang lagi penerima Nolmon Bikal, 41, seorang pemandu lori berkata dia sangat terharu dan tidak menyangka menjadi antara penduduk kampung yang terpilih menerima bantuan wang zakat itu yang akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

“Saya sangat bersyukur kerana bukan selalu dapat peluang menerima bantuan seperti ini. Saya akan gunakan untuk belanja anak-anak sekolah dan selebihnya untuk belanja dapur,” katanya.

Selain keluarga asnaf, Bernas turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada kira-kira 100 ketua keluarga di kampung tersebut sebagai inisiatif untuk lebih mendekati komuniti kampung dan tanda terima kasih atas sokongan diberikan kepada agensi itu.

Keprihatinan Bernas terhadap pembangunan masyarakat di Kampung Salimandut juga dapat dilihat menerusi sumbangan RM40,000 bagi membaik pulih Surau Al-Hidayah pada 2017 dan kerja-kerja membaik pulih surau berkenaan siap sepenuhnya pada tahun lepas.

Kini, surau tersebut sudah boleh digunakan dengan memuatkan kira-kira 120 jemaah pada satu-satu masa selain turut berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu dan pembangunan insan.

Terdahulu, Jasnih ketika berucap berkata sumbangan amal seumpama itu tidak pernah lekang dengan Bernas dan agensi itu akan terus komited untuk membantu golongan miskin dan yang memerlukan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel