Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rio sanggup tinggalkan gaji lumayan untuk ceburi muzik tradisional


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Johary Indan

TAMPARULI, 17 Nov -- Minat yang mendalam terhadap alat muzik tradisional seperti sompoton sigi atau sompoton kembar, marimba, kulintangan dan gong,  mendorong seorang pemuda dari Kampung Timbou dekat sini bertindak nekad berhenti kerja untuk bermain alat muzik tradisional secara sepenuh masa

Rio Ryem Sorioh, 46, sanggup mengetepikan gaji yang lumayan demi  melestarikan serta  mempertahankan muzik  tradisional, sungguhpun beliau sedar pendapatan daripada bidang itu tidak menentu dan tiada jaminan masa

Namun hasil ketekunan serta ketabahannya , Rio kini lega tindakannya berhenti kerja dari sebuah syarikat di Brunei Darussalam pada 1999, tidak sia-sia, apabila sering menerima undangan membuat persembahan muzik tradisional di seluruh Sabah yang  memberikannya  pendapatan lumayan.

"Jika tiada jemputan bermain muzik tradisional, saya menjadikan jambatan gantung Tamparuli, yang sering dikunjungi pelawat tempatan dan luar lokasi utama menunjukkan bakat dan meraih rezeki bermain alat muzik tradisional sejak beberapa bulan lalu,”

"Tidak perlu rasa malu melakukan sesuatu pekerjaan, asalkan usaha itu mendatangkan pendapatan halal untuk menyara keluarga," katanya yang berkelulusan dalam bidang pertanian dari Pusat Latihan Pertanian Damai, Kota Kinabalu kepada Bernama.

Selain alat muzik tradisional, Rio juga  berbakat bermain muzik moden seperti gitar, keyboard dan dram, serta boleh menyanyi secara  solo.

"Saya bersyukur apabila permainan muzik tradisional, semakin mendapat perhatian serta diterima masyarakat di negeri ini, membolehkannya  menerima banyak tempahan membuat persembahan pada majlis keramaian dan rasmi, dengan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata, sokongan isteri, Wolnie Palipi, 38, menjadi pembakar semangat untuk meneruskan bakat bermain muzik tradisional, walaupun berdepan pelbagai cabaran sewaktu mula-mula  menceburi bidang itu.

"Saya kerap mendapat undangan membuat persembahan di Tuaran, Tamparuli, Kiulu, Tenghilan, Kudat, Kota Marudu, Inanam, Telupid, Menggatal dan Kota Kinabalu, dengan bayaran dikenakan RM450 hingga RM700 sekali jemputan," katanya.

Rio mewarisi bakat seni bapanya, Sorioh Galais, yang ketika hayatnya pakar membuat serta mencipta alat muzik tradisional bambu sebagai perangsang mempertahankan kewujudan alat muzik tradisional bambu seperti bungkau dan suling.

Sehubungan itu, beliau berharap peranan muzik tradisional dalam kehidupan masyarakat dapat dipertahankan, supaya tidak pupus ditelan zaman untuk diwarisi generasi akan datang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel