Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rancangan bina CCRC kedua Sabah di Balung, Tawau


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





TAWAU, 17 Nov -- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merancang membina  Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) yang kedua di Sabah tidak lama lagi  bagi menampung keperluan membantu penagih menghilangkan tabiat penyalahgunakan dadah.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata setakat ini Sabah hanya mempunyai sebuah CCRC yang  terletak di Kimanis dan hanya mampu menampung sekitar 250 orang penghuni sahaja pada satu masa.

Beliau berkata CCRC kedua itu dirancang untuk dibina di Balung  dekat sini dan ketika ini kerajaan negeri dan pusat masih dalam perbincangan berhubung soal tanah seluas 12 hektar (30 ekar)  bagi pembinaan pusat itu.

"Sekiranya isu tanah itu dapat dimuktamadkan barulah selepas itu, pihak kerajaan pusat memulakan persediaan bajet pembinaan.

"Saya berharap cadangan membina satu CCRC di Balung, Tawau dapat direalisasikan, rancangan ini perlu bagi menampung jumlah penghuni CCRC sedia ada di negeri ini yang semakin meningkat setiap tahun," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat AADK di sini.

Zulkifli berkata sebelum ini terdapat cadangan untuk membina CRCC di Kalabakan namun tanah di kawasan itu tidak bersesuaian dan ekoran itu dipindah ke Balung.

Dalam pada itu, katanya semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta anggota keluarga perlu mengembleng usaha sama memberi bantuan atau sokongan terhadap penagih dadah

Selain itu katanya,m terdapat empat Pusat Khidmat Pulih dan Rawat (CCSC) di Sabah iaitu di Keningau, Kota Kinabalu, Sandakan serta Semporna.

Bagaimana pun menurutnya, CCSC Keningau bakal dijadikan pusat pemulihan sementara untuk penagih wanita mendapatkan rawatan.

Di Malaysia terdapat 30 pusat serenti dengan 20 daripadanya merupakan pusat tahanan mandatori manakala bakinya adalah pusat pemulihan sukarela.

Sementara itu, Ketua AADK Tawau, Abdul Ghani Keruput berkata seramai seramai 211 penagih termasuk empat wanita ditahan menerusi 151 operasi yang dijalankan sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Menurutnya, kesemua mereka dalam Operasi Pencegahan Dadah Habis-habisan (PDH), Operasi Cegah dan Operasi Sarang di sekitar Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna.

"Daripada jumlah yang ditahan, 131 individu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 manakala 80 orang lagi dibawah Seksyen 6(3) Akta yang sama," katanya lagi.

Kesemua tahanan dadah berumur antara 18 hingga 51 tahun ke atas.

Katanya, seramai 691 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang direkodkan berdaftar di Pusat rawatan dan Pemulihan AADK Tawau termasuk OKP dari daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel