Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

DBKK perkukuh semangat cinta alam sekitar, guna barang terpakai


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





KOTA KINABALU, 17 Nov  -- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus komited memperkukuhkan lagi semangat kecintaan warga kota di bandar raya ini terhadap alam sekitar dan amalan guna semula barangan terpakai menerusi program ‘Creative Upcycle and Eco Bag For Green City’, hari ini.

Program berlangsung sehingga tengah hari tadi di perkarangan bangunan DBKK di sini, disertai oleh lebih 100 orang termasuk dalam kalangan belia dan pelajar sekolah yang jelas mempunyai keinginan untuk memastikan Kota Kinabalu sentiasa bersih dan cantik serta bebas daripada sampah sarap seperti plastik.

Seawal 8 pagi tadi, para peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan mengambil bahan terpakai seperti gegantung, kain dan plastik pembungkus makanan untuk dijahit sekali gus diinovasikan menjadi barangan baharu yang boleh digunakan semula seperti beg membeli-belah.

Bagi Siti Hazriani Kadir, 16, seorang pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, program itu mampu menjadi platform untuk generasi muda meningkatkan lagi pengetahuan serta kefahaman mengenai kepentingan amalan guna semula dan kitar semula bagi terus memelihara kelestarian alam sekitar.

"Saya menyertai program ini kerana saya mahu mempelajari bagaimana barang terpakai seperti gegantung dan kain perca boleh diubah secara lebih kreatif untuk menghasilkan produk berkualiti, bernilai dan digunakan semula selain boleh dijual dan memberi pendapatan," katanya ketika ditemui Bernama pada program itu, di sini.

Program Creative Upcycle and Eco Bag For Green City yang diadakan pada setiap Ahad minggu ketiga itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai budaya bersih, persekitaran indah dan sihat dengan mengamalkan kitar semula serta memperbaiki amalan pengurusan sisa pepejal.

Pada penganjuran program itu hari ini, para peserta diminta menghasilkan sebanyak 48 helai beg eko mengikut kreativiti dan inovasi masing-masing.

Seorang lagi peserta Sally Edward Ghani yang menghasilkan beg eko untuk kosmetik, dompet dan bekas pensil berkata program itu perlu diteruskan kerana ia mampu membuka minda masyarakat terhadap amalan kitar semula dan guna semula demi memastikan masa depan alam sekitar lebih mampan.

“Masyarakat hari ini sudah ada kesedaran tentang pengurangan penggunaan plastik tunggal. Saya berharap program ini akan dapat memperkukuhkan lagi kesedaran itu dan masyarakat akan menjadi lebih kreatif menghasilkan barangan lebih bernilai menerusi barangan terpakai.

"Ia juga diharap dapat membantu DBKK yang kini berdepan cabaran daripada segi menguruskan sisa domestik dan sisa pepejal," kata arkitek itu yang juga Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan DBKK.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBKK Noorliza Awang Alip berkata agensi itu mahu meningkatkan pembudayaan amalan penggunaan beg eko dalam kalangan masyarakat khususnya ketika membeli-belah kerana ia penting selain mewujudkan kesedaran dan keterujaan terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Justeru, DBKK akan memperluaskan lagi promosi penggunaan beg eko dan mengeluarkan produk berkenaan mengikut keperluan, katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel