Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





GOPENG, 17 Nov -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Besar Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohd Radzi serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis yang diadakan bersempena Hari Keputeraan baginda ke-63 yang disambut pada 1 Nov lepas, turut dihadiri kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata kerajaan negeri telah menyiapkan 7,000 unit buah rumah mampu milik untuk projek Rumah PerakKu manakala 11,000 unit lagi, sedang dalam pembinaan khusus untuk golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

"Selain itu, 2,700 keluarga daripada dua belas Rancangan Perkampungan Tersusun mendapat manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur dengan peruntukan melibatkan RM5 juta.

"Insya-Allah, semua usaha ini akan diteruskan dalam Belanjawan Negeri Perak 2020 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lepas, antaranya jumlah penerima Kad Perak Prihatin akan ditingkatkan kepada 20,000 isi rumah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Perak telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 peratus sepanjang tahun lalu, manakala kadar pengangguran di negeri telah menurun.

"Momentum ini dijangka akan diteruskan untuk tahun ini susulan kemasukan pelaburan berjumlah RM1.72 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

"Penganjuran Ekspo Antarabangsa Perak (PIEX) 2019 yang melabuhkan tirainya hari ini dijangka akan melonjakkan lagi jumlah pelaburan dan perdagangan negeri ini, dalam menzahirkan hasrat mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel