Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pulau Pinang jamin lanjutkan tempoh pajakan tanah industri


Tarikh kemaskini: 17/11/2019





GEORGE TOWN, 17 Nov  -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberi jaminan kepada syarikat, terutama syarikat multinasional di negeri itu, bahawa pajakan tanah perindustrian masing-masing akan dilanjutkan.

Beliau berkata pajakan ke atas tanah perindustian lazimnya untuk tempoh 60 tahun, dengan sebahagian daripada pajakan tanah industri akan tamat antara 10 dan 15 tahun akan datang.

"Kami mahu mengekalkan industri di sini dengan harapan mereka akan mengembangkan operasi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Oleh itu, isu lanjutan pajakan tidak timbul. Sudah pasti kami mahu melanjutkannya, namun kami akan mengkaji implikasi premium ke atas kos operasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk ’From Free Port to Modern Economy: Economic Development and Social Change in Penang, 1969 to 1990’, di Penang Institute di sini hari ini.

Beliau berkata kajian sudah mula dilakukan bagi menentukan jumlah premium tanah yang boleh dikenakan untuk pajakan baharu selama 60 tahun ke atas syarikat yang memutuskan untuk melanjutkan tanah pajakan di tapak industri.

"Lima puluh tahun lepas, ia merupakan ladang kelapa, oleh itu tidak menghairankan jika kosnya hanya kira-kira 5 hingga 20 sen, namun hari ini tanah tersebut merupakan zon industri matang, dan dengan itu penilaiannya perlu dipertimbang semua," katanya.

Chow berkata hasil tanah merupakan hasil terbesar bagi kerajaan negeri, dan Pulau Pinang menyerahkan penilaian tanah kepada Jabatan Pernilaian dan Hartanah untuk mencadangkan kadar premium tanah.

"Ia adalah agensi penilaian kerajaan yang membuat penilaian harga tanah, nilai tanah dan mengesyorkan premium yang akan dikenakan. Selalunya kami akan mengikut penilaian premium yang disyorkan oleh jabatan penilaian dan prosesnya sangat telus," katanya.

Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota bagaimanapun berkata, syarikat digalakkan untuk memohon lanjutan tanah perindustrian mulai sekarang dan bukan menunggu sehingga 60 tahun.

"Jika sudah tinggal (tempoh pajakan) 10 tahun, mereka sudah boleh mula memohon, tidak perlu menunggu sehingga tamat tempoh 60 tahun untuk memohon. Setelah sampai 45 tahun atau 50 tahun, mereka sudah boleh memohon pelanjutan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel