Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





Oleh Shaidathul Suhana Ros

MELAKA, 18 Nov -- Jumlah hutang awam kerajaan negeri Melaka pada tahun lepas menurun RM3.6 juta atau 0.4 peratus kepada RM839.69 juta, berbanding RM843.29 juta pada 2017, kata Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Beliau, menerusi kenyataan tentang Laporan Ketua Audit Negara, berkata menurut laporan itu  pengauditan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Melaka 2018 mendapati tunggakan bayaran balik hutang awam meningkat RM56.69 juta kepada RM516.67 juta tahun lepas berbanding RM459.95 juta pada 2017.

“Kedudukan kewangan kerajaan negeri stabil berikutan Akaun Hasil Disatukan pada 2018 menunjukkan defisit RM13.86 juta berbanding defisit RM22.81 juta pada 2017. Defisit semasa ini berpunca daripada perbelanjaan mengurus RM380.86 juta melebihi hasil kerajaan negeri berjumlah RM367 juta.

“Baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun 2018 menunjukkan peningkatan defisit kepada RM91.38 juta berbanding RM77.52 juta pada akhir tahun 2017," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Nik Azman berkata laporan itu turut menyebut kutipan hasil meningkat sebanyak RM31.67 juta atau 9.4 peratus tahun lepas kepada RM367 juta berbanding RM335.33 juta pada 2017.

Beliau berkata laporan itu juga menunjukkan secara keseluruhan baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 mencatatkan penurunan RM29.39 juta atau 29.6 peratus, kepada RM69.86 juta pada tahun lepas  berbanding RM99.25 juta pada 2017.

“Pengauditan yang dijalankan mendapati Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka telah diberi Pendapat Tanpa Teguran kerana menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri selain rekod perakaunan diselenggara dengan teratur dan kemas kini.

“Analisis audit berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel