Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan semula SPCT bermula tahun depan


Tarikh kemaskini: 18/11/2019




GEORGE TOWN, 18 Nov -- Kerja pembinaan untuk pembangunan semula Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) bagi menampung ketibaan kapal yang besar, akan bermula tahun hadapan.

Pengarah Urusan Royal Caribbean Cruises Ltd (RCL) untuk Asia Pasifik, Angie Stephen berkata pelan projek itu telah diluluskan sementara rakan kongsi pembinaan dan pemegang konsesi  juga sudah dikenal pasti.

“Jadi pada masa ini, kami sedang melakukan persiapan terakhir dan kami jangka kerja pembinaan projek ini akan bermula dalam dua ke tiga bulan lagi, “ katanya kepada pemberita selepas   kapal persiaran RCL, Quantum of the Seas berlabuh di SPCT, di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu menjangka pembinaan mengambil masa 12 bulan sebelum ia mempunyai keupayaan mengendalikan kapal yang lebih besar. 

Pada September tahun lepas, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menandatangani perjanjian usahasama dengan RCL untuk membangunkan semula SPCT bagi menampung kapal yang lebih besar.

Kerja pembangunan semula itu bakal menyaksikan himpitan sedia ada di SPCT sepanjang 400 meter (m) akan dipanjangkan lagi sebanyak 220m dan ditambah dengan tiang tambat sepanjang 118m.

Berikutan langkah ini, terminal kapal persiaran ini dijangka mampu mengendalikan dua kapal persiaran bersaiz mega serentak di himpitan luar sementara sebuah kapal kecil dan sebuah kapal bersaiz sederhana di himpitan dalam.

Bagaimanapun, Stephen berkata satu daripada halangan utama pertumbuhan kapal persiaran di Asia Tenggara ialah kekurangan pelabuhan untuk  persinggahan.

Beliau berkata saiz kapal RCL semakin meningkat dan bagi memberikan pengalaman yang baik kepada tetamu, kumpulan itu lebih gemar kapalnya berlabuh terus di pelabuhan daripada mengangkut tetamunya ke darat menggunakan bot.  

“Jadi saya fikir Pulau Pinang sudah selangkah ke hadapan dari banyak tempat lain dengan menyediakan prasarana yang diperlukan,” katanya.

Stephen berkata pelancongan kapal persiaran mempunyai potensi besar di rantau ini terutamanya dilaporkan kurang daripada satu peratus penduduk Asia terdedah kepada kapal persiaran. 

“Ini memberikan isyarat wujud peluang yang baik untuk kami berkembang, kerana tidak ramai penduduk Asia tahu melancong dengan kapal persiaran pilihan berbaloi untuk wang mereka,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel