Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cubaan bawa masuk daging kerbau sejuk beku bernilai RM3.5 juta gagal


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





BUTTERWORTH, 18 Nov -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk daging kerbau sejuk beku sebanyak 279,960 kilogram bernilai RM3.5 juta kerana tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini baru-baru ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang Zarina Ramli berkata semua daging kerbau sejuk beku dari India itu dibawa masuk menerusi 10 kontena secara berasingan sejak 22 Okt hingga 14 Nov lepas oleh sebuah syarikat yang sama.

"Pemeriksaan kami mendapati 13,991 kotak daging kerbau sejuk beku itu tidak mematuhi syarat permit import yang telah ditetapkan oleh Maqis malah logo halal yang digunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran produk daging tersebut adalah berbeza.

"Selain itu, logo halal yang digunakan pada pembungkusan dalaman dan luaran itu juga bukan logo daripada badan halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya Maqis Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM28,000 terhadap syarikat tersebut dan memberi amaran atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat import yang sah. 

Zarina berkata perbuatan mengimport daging kerbau tidak mematuhi syarat seperti yang ditetapkan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan menurut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya. 

Menurutnya, Maqis Pulau Pinang sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan lain di semua pintu masuk negara dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara. 

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Di PASIR MAS (Kelantan), sebanyak 1,600 kilogram keluaran pertanian dirampas Maqis Rantau Panjang dalam satu Operasi Pematuhan Import Pertanian dari negara jiran di Pintu Masuk Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang hari ini.

Pengarah Maqis Negeri Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata dalam operasi bermula 6 pagi itu,15 anggota penguat kuasa Maqis menjalankan pemeriksaan terhadap lebih 200 kenderaan dan merampas 1,400 kilogram (kg) keluaran tumbuhan yang merangkumi sayur-sayuran dan buah segar.

“Selain itu, 200kg hasilan haiwan seperti karkas ayam, tulang dan daging lembu yang dibawa masuk dari negara jiran tanpa mempunyai sebarang dokumen seperti permit import daripada Maqis, sijil kesihatan dan sijil fitosanitari turut dirampas. Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM6,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Azam berkata Maqis sentiasa memantau dan memeriksa setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel