Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tambahan satu jam sesi penggulungan untuk Ketua Pembangkang Perak ditarik balik


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





IPOH, 18 Nov -- Masa tambahan satu jam yang diberikan kepada Ketua Pembangkang Perak Datuk Saraani Mohamad untuk sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ditarik balik, kata Speaker DUN Datuk Ngeh Koo Ham.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Saarani gagal memanfaatkan masa penggulungan pada sidang-sidang DUN yang lepas.

“Saarani sepatutnya menggunakan peluang itu untuk membangkitkan perkara yang tidak disentuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain ketika sesi membahas.

“Peluang yang diberikan itu digunakan oleh ketua pembangkang untuk membuat tuduhan melulu dan mengancam pihak kerajaan, bukan berbahas,” katanya pada sidang media di luar persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keadaan itu, pihaknya membuat kesimpulan bahawa hanya satu jam mencukupi ketika sesi perbahasan untuk ketua pembangkang mengemukakan sebarang pandangan dan kritikan.

Ngeh berkata, bagaimanapun, sekiranya tempoh masa berbahas itu tidak mencukupi, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk menambah masa berbahas kepada ketua pembangkang sebanyak 30 minit hingga satu jam lagi.

Pada November tahun lepas, Ngeh mengumumkan bahawa ketua pembangkang diberikan tambahan masa untuk berbahas daripada 40 minit kepada sejam malah diberikan tambahan sejam lagi ketika sesi penggulungan.

Terdahulu, Saarani pada sidang media, berkata beliau kesal dengan keputusan itu yang diisfatkannya sebagai pelik kerana menurutnya peraturan itu diperkenalkan Ngeh dalam usaha menambah baik institusi DUN Perak.

"Kita (pihak pembangkang) menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan itu apabila hak ketua pembangkang yang diberikan sebelum ini dinafikan oleh speaker,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel