Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wujudkan gred jawatan dalam kerajaan untuk lepasan TVET


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





KANGAR, 18 Nov -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran mewujudkan gred jawatan khusus kerajaan untuk pelajar lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menetapkan  penanda aras tangga gaji permulaan yang layak diterima mereka.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr R Badlishah Ahmad berpendapat langkah itu perlu supaya graduan TVET tidak dianggap sebagai kelas kedua sekali gus mengatasi masalah penawaran gaji rendah pekerja TVET di sektor industri.

“Selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan bidang tersebut menjadi tarikan pelajar dan mahu meningkatkan jumlah pekerja mahir kepada 30 peratus pada tahun hadapan, kerajaan diharap dapat membantu graduan TVET ini dengan menyediakan gred gaji yang setaraf seperti graduan kejuruteraan yang diberikan gred J,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Badlishah berkata sektor industri dan majikan juga perlu mengiktiraf lepasan TVET dengan memberikan mereka tugas-tugas lebih mencabar dan bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki.

Katanya, ini termasuk memberi kepercayaan dalam melaksanakan reka bentuk kejuruteraan dan pembangunan teknologi sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara-negara luar seperti Jerman yang mana sebahagian besar kerja dilaksanakan oleh pekerja TVET.

“Di Jerman, industri dan institusi akademik sering menjalinkan kerjasama erat dalam memastikan kurikulum pengajian sentiasa selari dengan keperluan industri dan ini memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan, UniMAP telah mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan hubungan dengan industri terutama dari aspek kurikulum pengajian yang sememangnya digubal setelah mengambil pandangan pemain industri supaya lepasan TVET dapat menyumbang kepada industri dalam skala lebih besar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel