Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Perak dipuji kerana prihatin dengan institusi agama Islam


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





IPOH, 18 Nov -- Seorang wakil rakyat PAS hari ini berterima kasih kepada kerajaan Perak atas keprihatinan pentadbiran negeri terhadap institusi agama Islam, berdasarkan peruntukan yang disediakan untuk institusi berkenaan sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam Belanjawan Perak 2020, Jumaat lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Razman Zakaria berkata jumlah yang diumumkan itu mencatatkan peningkatan sekitar 20 peratus berbanding sebelum ini.

“Tidak tahulah apa naratif yang mahu dimainkan, tetapi saya mahu mengucapkan banyak-banyak terima kasih kerana memberi peruntukan yang agak lebih daripada sebelumnya,” katanya ketika membahas Belanjawan Perak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketika pembentangan belanjawan itu pada Jumaat lepas, Ahmad Faizal mengumumkan RM3 juta diperuntukkan untuk sekolah agama rakyat, RM2 juta untuk sekolah tahfiz dan pondok swasta, RM3.3 juta bagi keselamatan sekolah tahfiz, dan RM22.2 juta untuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak turut menyarankan agar kerajaan negeri membuat perancangan bagi memperkasa institusi-institusi tahfiz di negeri Perak, yang melibatkan peningkatan kualiti modal insan dalam pengurusan masjid, imam dan sebagainya.

Razman seterusnya turut mencadangkan agar institusi masjid bukan sahaja dijadikan sebagai tempat khusus untuk beribadah semata-mata, tetapi perlu diperluaskan dengan pengajian asas agama Islam termasuk pembelajaran al-Quran supaya umat Islam dapat memahami ajaran agama dengan lebih baik.

Beliau juga memuji kerajaan negeri yang memperkenalkan Program Bantuan Umrah dengan peruntukan RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,000 asnaf tahun depan.

“Kita ucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri sebab tidak pernah berlaku bagi hadiah orang pergi umrah. Terima kasih kerana bagi golongan asnaf menunaikan ibadat sunat,” katanya.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel