lZQ21qASWaU Pendidik sejati pastikan anak didik capai kejayaan optimum - Tuanku Zara
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pendidik sejati pastikan anak didik capai kejayaan optimum - Tuanku Zara


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





 

TANJUNG MALIM, 19 Nov -- Pendidik sejati tidak sekadar memenuhi tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan menyebarkan pengetahuan, tetapi menjadikan misi utama untuk menjayakan setiap anak didik mereka mencapai  kejayaan optimum, titah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Baginda bertitah pendidik yang sejati adalah pendidik  yang memiliki pemahaman mendalam dan  menghayati falsafah pendidikan.

Tuanku Zara yang juga canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah untuk mencapai kejayaan, anak-anak sebenarnya lebih memerlukan bimbingan dan simpati daripada arahan.

"Jika berlaku kegagalan awal mereka tidak harus diperkecil atau dimalukan, sebaliknya mereka perlu diberikan sokongan moral dan disuntik dengan keyakinan.  Tidak ada  sesuatu yang akan tercapai tanpa terlebih dahulu dibina harapan dan disemaikan  keyakinan.  

"Berfikiran optimis dan  mendorong anak-anak berfikiran optimis, adalah  kunci yang akan mendorong kepada kejayaan," titah baginda pada istiadat Konvokesyen UPSI Ke-21 di Kampus Sultan Azlan Shah di sini, hari ini. 

Pada konvokesyen kali ini, seramai 4,985  graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing. 

Selain itu, Tuanku Zara bertitah ibu bapa pada setiap masa perlu membina keyakinan dan kekuatan dalaman  anak-anak melalui belaian kasih sayang yang meyakinkan kerana setiap anak memiliki perbezaan, kelebihan serta keistimewaan tersendiri. 

"...dan guru yang bijaksana akan berupaya mengenali potensi dalam diri setiap anak yang boleh dibangunkan," titah baginda. 

Baginda berharap graduan menghargai jasa bakti tenaga pengajar serta doa ibu bapa dan keluarga yang telah membolehkan mereka menamatkan pengajian dengan jayanya.

"Hargailah jasa bakti setiap mereka dengan mengamalkan sifat-sifat anak yang soleh dan solehah, murid yang menghargai jasa guru,  dan insan yang berterima kasih kepada orang yang berbudi

"Beta menzahirkan penghargaan kepada pro canselor-pro canselor, juga kepada pengerusi  dan ahli-ahli lembaga pengarah, naib  canselor dan tenaga akademik, pendaftar dan kakitangan pengurusan serta kakitangan sokongan yang penuh dedikasi melakukan pelbagai usaha demi memastikan setiap pelajar mencapai  kejayaan dan UPSI mencipta kecemerlangan," titah Tuanku Zara.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel