Lapan kes keracunan makanan babitkan sekolah di Perak tahun ini
Tarikh kemaskini: 19/11/2019

IPOH, 19 Nov -- Sebanyak lapan kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Perak pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak lima kes keracunan berlaku di dapur asrama sekolah iaitu masing-masing dua kes di Kuala Kangsar dan Batang Padang, satu di Kinta Selatan manakala tiga lagi di kantin sekolah kawasan Kinta Utara.
“Berdasarkan maklumat dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, antara faktor berlakunya kes keracunan makanan adalah disebabkan pencemaran silang, proses memasak yang tidak sempurna dan bahan mentah tercemar,” katanya ketika menjawab soalan lisan Khairuddin Abu Hanipah (BN-Blanja) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Abdul Aziz (PH-Tebing Tinggi) berkata demikian bagi menjawab soalan Khairuddin yang ingin tahu bilangan kes keracunan makanan di sekolah, punca dan tindakan yang telah diambil oleh pihak JPN serta Jabatan Kesihatan untuk mengatasi masalah itu.
Beliau berkata JPN Perak memandang serius kejadian kes keracunan makanan yang berlaku di sekolah dan telah mengambil tindakan antaranya mewujudkan jawatankuasa khas dalam menangani kes berkenaan yang dianggotai pegawai JPN negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pegawai Jabatan Kesihatan negeri Perak.
Abdul Aziz berkata JPN Perak juga telah mengeluarkan surat peringatan kepada PPD dan sekolah yang terlibat pada 3 Mei lepas agar mereka dapat mengambil langkah pencegahan dan pendidikan serta sentiasa mengutamakan amalan kebersihan dalam kalangan pelajar serta pengendali makanan di kantin sekolah dan dapur asrama.
Beliau berkata pihak JPN Perak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak sentiasa berganding bahu bagi memastikan semua pengusaha melaksanakan Pemeriksaan Harian Kendiri Kantin dan Dapur Asrama.
Kementerian Pendidikan telah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kosong peratus kes keracunan makanan berulang dan mengeluarkan surat siaran pengusaha kantin sekolah yang mendapat Gred C dalam Penggredan Kantin Sekolah yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri, tidak layak mendapat lanjutan kontrak satu tahun (2+1) dan boleh disenarai hitam selama setahun, katanya.
-- BERNAMA
|