Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pentadbiran kerajaan Perak masih kukuh, tiada masalah tadbir negeri


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





IPOH, 19 Nov -- Barisan Exco kerajaan negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Perak hari ini memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri Perak masih kukuh dan tiada sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Asmuni Awi berkata sejak akhir-akhir ini terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak kerajaan negeri selain cubaan untuk mengganggu-gugat kestabilan pentadbiran kerajaan di bawah PH.

Asmuni berkata walaupun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini, namun usaha-usaha untuk mencipta persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku.

“Kebersamaan kami pada hari ini adalah bagi menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Menteri Besar Perak,” katanya yang mewakili barisan Exco kerajaan negeri serta ADUN-ADUN PH di bilik sidang media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata sidang media bersama semua wakil rakyat PH itu diadakan berikutan pelbagai isu berkaitan ketidakstabilan kerajaan negeri ditimbulkan oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada semua pihak khususnya rakyat di Perak untuk mengabaikan segala tohmahan dan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan terus memberi kepercayaan kepada PH untuk menggalas amanah melaksanakan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

“Kami juga berjanji akan terus menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan,” katanya.

Baru-baru ini, tular video perbualan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai, Pontian yang mengaitkannya dengan isu ketidakstabilan kerajaan negeri ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2020 pada persidangan DUN yang sedang berlangsung.

Selain itu, turut tular video berdurasi lima minit memaparkan perbualan antara Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari dengan beberapa individu daripada PH kononnya mahu menggulingkan Ahmad Faizal.

Menurut Abdul Aziz, penularan video itu menunjukkan pihak tertentu sengaja melakukan provokasi menjelang persidangan DUN.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel