Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wujudkan rangka kerja baharu untuk pastikan keselamatan empangan - Dr Xavier


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





GEORGE TOWN, 19 Nov  -- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang berusaha mewujudkan sebuah rangka kerja keselamatan untuk meneliti keselamatan dan reka bentuk empangan di Malaysia.

Menterinya, Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata beliau mahu supaya diwujudkan sistem pengawalseliaan yang mana semua semua empangan di negara ini perlu kawal selia serta diselenggara, dan laporan perlu dikemukakan kepada pusat pangkalan data untuk memastikan keselamatan semua empangan.

“Oleh itu, arahan saya kepada kementerian adalah supaya meneruskan agenda ini dan kami akan mewujudkan rangka kerja keselamatan, dengan akta parlimen. Ia bukan hanya terpakai kepada empangan persendirian tetapi ia juga perlu terpakai kepada empangan yang dimiliki serta diselenggara  sendiri oleh kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pengurusan Keselamatan dan Kejuruteraan Empangan di sini hari ini.

Beliau berkata adalah baik bagi semua kerajaan negeri untuk mematuhi sistem  pengawalseliaan bagi memastikan semua 104 empangan di Malaysia adalah selamat.

"Jadi kita akan ada sebuah badan pengawalseliaan berpusat yang akan meneliti keselamatan dan reka bentuk bangunan empangan bagi masa depan di Malaysia. Bagaimanapun ia mungkin mengambil sedikit masa, mungkin menjelang akhir  2020, peraturan baharu itu akan dibawa ke parlimen untuk kelulusan,” katanya.

Dr Xavier berkata sebelum 2018, sebahagian besar daripada amalan pengurusan keselamatan oleh pengusaha empangan di negara ini adalah dengan peraturan kendiri dan tiada undang-undang atau garis panduan khusus tentang keselamatan empangan di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia  (MyDAMS) telah dilaksanakan sejak September 2017.

"Sejak itu, kementerian berusaha untuk memastikan semua empangan kita diselenggara dalam cara yang mampan dan mesra alam sekitar serta menepati MyDAMS," katanya.

Sementara itu, Dr Xavier yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata beliau telah meminta Exco Pulau Pinang dan Perak untuk berbincang tentang pemindahan air.

Beliau berkata kementeriannya akan menjadi perantara perbincangan itu bagi pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan penyelesaian yang menguntungkan bagi kedua-dua negeri berkenaan.

"Kami akan mengusahakan mekanisme harga bagi memastikan tiada siapa pun yang akan rugi. Jika segala-galanya berjalan lancar, kita mungkin dapat memulakan projek ini dalam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Isu air Pulau Pinang-Perak telah lama tertunggak antara kedua-dua negeri berkenaan, dengan Perak bertegas untuk menjual air terawat, manakala Pulau Pinang sebaliknya mahu air mentah.

Dilaporkan bahawa kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang  (PBAPP) memohon untuk memulakan Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) menjelang 2025, untuk meneroka sumber air mentah utama kedua bagi Pulau Pinang.

Sungai Perak adalah sumber air mentah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang kurang digunakan, dan  SPRWTS mempunyai potensi untuk memastikan kemampanan bekalan air di Perak dan Pulau Pinang sehingga  2050.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel