Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jurutera ditahan memandu lawan arus dalam keadaan mabuk


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





KEPALA BATAS, 19 Nov -- Seorang jurutera ditahan kerana memandu kereta secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan menghala selatan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 64 tahun itu hanya tersedar dirinya telah tersilap jalan selepas memandu hampir 50 kilometer dari lokasi yang hendak dituju sebelum berpatah balik dan melawan arus di lebuh raya berkenaan.

"Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, lelaki warga emas itu dikatakan memandu kenderaannya dari Relau, di bahagian pulau untuk pulang ke hotel penginapannya di Pulau Tikus. Bagaimanapun, dia yang dalam keadaan mabuk telah tersilap jalan hingga menyeberangi Jambatan Pulau Pinang," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata jurutera itu terus memandu menghala lebuh raya ke arah utara sehingga ke Tikam Batu, Kedah sebelum menyedari dia telah salah jalan dan bertindak berpatah semula ke arah selatan dengan melawan arus.

Menurutnya, tindakan lelaki itu disedari pengguna lebuh raya yang menghubungi Kaunter Perkhidmatan Aduan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU bagi memaklumkan kejadian memandu melawan arus tersebut kerana bimbang berlaku kemalangan.

Noorzainy berkata lelaki itu yang memandu kereta Perodua Myvi telah melawan arus kira-kira 25 kilometer dan memandu di laluan kanan jalan tanpa langsung menyedari tindakannya itu salah serta boleh menyebabkan kemalangan.

"Polis menahan lelaki itu di Plaza Tol Sungai Dua dan dia mendakwa langsung tidak menyedari memandu melawan arus malah turut memaklumkan telah berpatah balik di laluan yang betul kerana mahu pulang ke hotelnya di Pulau Tikus," katanya.

Tambahnya, ujian awal mendapati lelaki yang berasal dari Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan itu berada di bawah pengaruh alkohol dan pemeriksaan lanjut termasuk ujian air kencing serta darah akan dijalankan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan untuk siasatan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan Seksyen 45(1) akta yang sama iaitu memandu bawah pengaruh alkohol.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel