Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerja tanah di Mount Erskine untuk cadangan pembinaan jalan - MBPP


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





GEORGE TOWN, 19 Nov  -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan kerja tanah di kawasan lereng Mount Erskine berhampiran dengan pangsapuri di Tanjung Tokong, dekat sini adalah cadangan pembinaan jalan bagi menghubungkan Persiaran Halia 3 ke Jalan Mount Erskine.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, buat masa ini kerja penstabilan cerun sedang dijalankan dan sebahagian cadangan jalan itu adalah melalui tanah milik kerajaan Negeri.

"Bahagian cerun yang terdedah itu adalah disebabkan oleh kerja penstabilan cerun yang sedang dilaksanakan iaitu 'soil nailing' dan 'guniting' serta sistem saliran.

"Jurutera geoteknikal yang dilantik bertanggungjawab menyelia dan mengawas semua kerja pemotongan bukit dan penstabilan cerun sepanjang masa. Kerja yang dijalankan juga disemak dan diteliti oleh jurutera geoteknikal pemeriksa bebas," jelas kenyataan itu.

Semalam, Pertubuhan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa MBPP dan pihak berkuasa tempatan memberi penjelasan berhubung kerja pembersihan tanah dan projek menarah bukit yang sedang dijalankan di kawasan itu.

Presiden SAM Meenakshi Raman menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan bencana memandangkan banyak bahagian cerun itu terdedah dan boleh mengakibatkan pergerakan tanah, terutama semasa musim hujan.

Menurut kenyataan itu, pembinaan jalan berkenaan telah disyaratkan oleh kerajaan Negeri ke atas pemaju untuk memitigasi impak lalu lintas daripada pembangunan baharu dan melicinkan aliran lalu lintas di kawasan Persiaran Halia.

Tambahnya, tapak jajaran projek itu melewati kawasan kontur ketinggian 250 kaki serta kawasan cerun berkecerunan melebihi 25 darjah dan Rancangan Struktur Negeri 2020 mengklasifikasikan projek itu sebagai projek istimewa iaitu projek infrastruktur utama berkepentingan kerajaan untuk kegunaan awam.

“Cadangan pembinaan jalan ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2020.

“MBPP amat prihatin dengan mana-mana kerja tanah yang membabitkan cerun atau tanah bukit yang melibatkan keselamatan orang awam, harta awam dan persekitaran," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel