nWOVicBLTxg Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





SEPANG, 19 Nov  -- Aduan berkaitan kebersihan tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkurangan sebanyak 80 peratus sejak proses membaik pulih dan menaik taraf kemudahan itu dilaksanakan dua tahun lepas, kata Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Datuk Mohd Shukri Mohd Salleh.

Beliau berkata sebanyak 384 tandas di terminal KLIA dan klia2 telah dinaik taraf ekoran banyak aduan dibangkitkan pengguna yang sebahagian besarnya adalah kaum wanita.

Mohd Shukri berkata proses menaik taraf tandas itu turut mengambil kira keperluan yang dibangkitkan pengguna dan antara perubahan yang dilakukan ialah berkenaan pengudaraan dan kelengkapan sanitasi.  

Beliau berkata proses menaik taraf kemudahan tersebut di pantau rapat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang menetapkan 20 elemen yang perlu dipatuhi termasuk lapan berkaitan kebersihan.

"Alhamdulillah, skor kita meningkat setiap bulan, dan pada Ogos lepas kita mencapai skor 90 peratus, sekaligus memenuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan Mavcom," katanya kepada pemberita selepas perasmian sambutan Hari Tandas Sedunia oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin dalam ucapannya berkata Hari Tandas Sedunia adalah satu inisiatif untuk memaklumkan, melibatkan diri, dan yang paling penting memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengambil tindakan dalam menangani krisis sanitasi global.

Memetik laporan Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau berkata 4.2 bilion populasi dunia hidup tanpa sanitasi yang selamat, dan terdapat kira-kira 673 juta orang yang masih bergantung pada pembuangan air terbuka sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Beliau berkata bahagian paling menakutkan adalah di mana 432,000 kematian dicatatkan setiap tahun daripada  kekurangan sanitasi yang mencukupi.

"Malaysia  bernasib baik diberkati dengan banyak infrastruktur kelas pertama seperti di lapangan terbang utama negara - Lapangan Terbang Antarabangsa KL, namun masih banyak yang diperlukan dari segi mencapai mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel