Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





ALOR SETAR, 19 Nov  -- Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sepenuh masa bakal menerima manfaat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dijangka diperkenalkan tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Perkeso bagi melaksanakan perkara itu yang akan dinikmati lebih 4,200 sukarelawan agensi itu seluruh negara.

“Sebelum ini, kita telah wujudkan Tabung Amanah Pertahanan Awam. Sekiranya sukarelawan APM yang sedang bertugas mengalami kemalangan, sumbangan akan diberikan kepada mereka menggunakan wang dari tabung berkenaan.

“Perbincangan awal ini (dengan Perkeso) nampak positif tetapi kita kena tukar terma sukarelawan itu bagi membolehkan mereka menerima perlindungan Perkeso. Kita sedang fikir terma yang paling sesuai untuk digunakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Setia APM di sini, hari ini.

Katanya, buat permulaan perlindungan itu hanya disediakan bagi sukarelawan sepenuh masa, manakala inisiatif lain akan dibincangkan dengan Perkeso untuk sukarelawan separuh masa 

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada APM berhasrat menambah aset bagi melicinkan operasinya, Roslan berkata buat masa ini tiada keperluan ke arah itu memandangkan aset sedia ada mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas ketika keadaan memerlukan.

“Tiada penambahan pada aset-aset besar seperti bot tetapi kita akan tambah peralatan menyelamat kerana peralatan yang diguna pakai sekarang ada yang sudah lama. Bajet sudah ada jadi kita akan beli peralatan baharu dan awal tahun hadapan ia akan diedarkan,” katanya.

Mengenai keanggotaan APM pula, Roslan berkata setakat ini seramai 2.2 juta orang telah mendaftarkan diri dengan APM untuk menjadi sukarelawan, namun pihaknya menghadapi kekangan kewangan dan masa untuk melatih semua mereka.

“Walaupun ramai yang daftar, tapi bukan semuanya aktif, jadi kita akan fokus kepada anggota kita yang sedia ada sahaja,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarat kelayakan fizikal juga telah ditetapkan kepada pegawai dan anggota tetap APM bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah obesiti, namun syarat tersebut tidak dikenakan ke atas anggota sukarelawan.

“Memang ada yang mengalami masalah obesiti tetapi untuk anggota sukarelawan kita tidak boleh halang pengambilan mereka. Kalau obesiti sekalipun, bukan mereka tidak boleh membantu, tetapi kita ada laksanakan program kecergasan dan penurunan berat badan untuk bantu mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel