Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak harus bangunkan sukan papan selaju setaraf antarabangsa


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





KUCHING, 19 Nov -- Sudah tiba masanya Sarawak perlu membangunkan sukan papan selaju dengan lebih serius dan setaraf antarabangsa, kata Penaung Persatuan Sukan Papan Selaju Sarawak (SKA) Fazzrudin Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan negeri harus  menyediakan taman papan selaju yang lebih kondusif bagi melahirkan lebih ramai atlet sukan ekstrem itu.

“Buat masa ini jika menganjurkan pertandingan papan selaju, SKA perlu kreatif dan mencari kawasan bangunan yang sesuai untuk dijadikan tempat pertandingan.

“Sungguhpun berhadapan dengan cabaran tiada tempat khas untuk menganjurkan pertandingan itu, SKA tidak berputus asa dalam usaha mencungkil bakat baharu,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media SKA bersama penaja Yayasan Karnaen (YK9) di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bagi membincangkan isu itu.

Sementara itu, atlet naungan SKA, Mohd Nur Firdaus Marzuki dari Miri mengakui cabarannya sebagai atlet sukan itu ialah ketiadaan taman bermain papan selaju yang menepati taraf pertandingan sukan itu di peringkat antarabangsa di negeri ini.

“Tempat yang ada sekarang sesuai untuk mereka yang baru belajar untuk bermain,” katanya yang merupakan seorang daripada enam atlet sukan papan selaju Malaysia yang akan ke Sukan SEA Manila 2019.

Nur Firdaus sebelum ini pernah terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa di Czech Republik pada 2016 dan juga  Sukan Asia di China tahun lepas.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel