Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak nafi tolak pindaan undang-undang had umur minimum perkahwinan


Tarikh kemaskini: 20/11/2019





MIRI, 20 Nov -- Sarawak tidak pernah menolak cadangan untuk meminda undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk menangani masalah remaja kahwin di bawah umur di negara ini.

Menteri Kebajikan,Kesejahteraan Komuniti, Wanita,Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah menyatakan kerajaan negeri Sarawak menyokong penuh undang-undang tersebut namun sistem perundangan berkaitan dengan perkahwinan di Sarawak mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung dengan dua undang-undang di negeri ini telah menetapkan secara jelas had umur minimum perkahwinan.

"Sarawak mempunyai tiga sistem perundangan berkaitan dengan perkahwinan iaitu undang-undang sivil, syariah serta adat dengan dua daripada undang-undang tersebut telah menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun,"katanya kepada pemberita selepas perasmian program Pemerkasaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Mulu di sini hari ini.

Fatimah berkata, undang-undang sivil di Sarawak telah menetapkan had umur 18 tahun namun dalam situasi tertentu misalnya jika remaja perempuan dibawah umur hamil sebelum berkahwin,perlu mendapat kelulusan dari kerajaan negeri menerusi Residen Bahagian masing-masing, sebelum dibenarkan berkahwin dengan pasangan 

Fatimah yang juga Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata, untuk undang-undang syariah di Sarawak walaupun berdasarkan faktor psikologi dan biologi (akal baligh) namun jika ianya melibatkan remaja bawah umur perlu mendapatkan kelulusan daripada mahkamah syariah sebelum perkahwinan dapat diteruskan.

Untuk perkahwinan mengikut adat, beliau berkata, setakat ini usaha sedang dijalankan untuk menyeragamkan had minimun perkahwinan melibatkan pelbagai etnik yang ada di Sarawak dan Majlis Adat Istiadat Sarawak sedang dalam proses untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.

"Majlis Adat Istiadat Sarawak telah diminta membuat perkara ini secepat mungkin kerana isu had minimum perkahwinan tidak wujud sebelum ini mengikut sistem adat,"katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenang membenarkan perkahwinan bawah umur kerana jika ianya melibatkan remaja perempuan dibawah 16 tahun ianya tidak akan dibenarkan langsung untuk memohon berkahwin dan dianggap sebagai kes rogol bawah umur di Sarawak. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam dilaporkan berkata, Sarawak adalah antara tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda had minimum umur  perkahwinan kepada 18 tahun selain daripada Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Katanya, setakat ini lima negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak telah bersetuju meminda enakmen atau ordinan berkaitan had minimum perkahwinan manakala Selangor telah meminda enakmen dan Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel