Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi


Tarikh kemaskini: 20/11/2019





KUALA LUMPUR, 20 Nov -- Seorang pegawai operasi sebuah bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi yang merupakan pengasas Yayasan Akalbudi mengarahnya mengeluarkan wang berjumlah RM17,953,185.21 dalam akaun simpanan tetap yayasan itu bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah yayasan berkenaan. 

Narimah Miswadi, 47, yang bekerja di Affin Bank cawangan Jalan Bunus di sini berkata bekas timbalan perdana menteri itu juga mengarahnya menggunakan cek yang dikeluarkan oleh pihak bank (cek jurubank) bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co. 

"Semasa perjumpaan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Jun 2016 di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, beliau (Ahmad Zahid) juga ada memberitahu saya bahawa tujuan pengeluaran wang ini adalah untuk membina sebuah bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak. 

"Sejurus selepas perjumpaan tersebut beliau (Ahmad Zahid) telah mengarahkan pembantu peribadinya Mejar Mazlina untuk menyediakan satu surat kepada pihak bank bagi tujuan membuat pengeluaran ke atas akaun melalui banker's cheque (cek jurubank) atas nama Messrs Lewis & Co pada 23 Jun 2016," katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari ketiga kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Narimah berkata beliau memohon kelulusan daripada ibu pejabat (Affin Bank) agar yayasan itu boleh menggunakan cek yang dikeluarkan oleh pihak bank untuk membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co. 

"Pada 23 Jun 2016 saya telah menyerahkan surat yayasan tersebut kepada Juruwang Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Royasmin Mohd Roddy untuk menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang bagi menyempurnakan arahan Ahmad Zahid. 

"Selepas Royasmin menyediakan Borang Kiriman Wang dan Banker's Cheque, beliau (Royasmin) telah menyerahkan borang itu dan banker's cheque (cek jurubank) tersebut kepada saya untuk disemak," katanya. 

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada Ahmad Zahid ada memberitahu saksi itu untuk membina sebuah bangunan di Bagan Datuk, Narimah menjawab: “Ya". 

Ahmad Zaidi: Sebenarnya untuk membina tahfiz dan masjid di Bagan Datuk?

Narimah: Tak ingat, seingat saya Bangunan Akalbudi di Bagan Datuk.

Narimah berkata pertemuannya dengan Ahmad Zahid adalah pertama kali dan ketika itu beliau berasa teruja dan gugup. 

Ahmad Zaidi: Tak rasa nak tanya kenapa bayaran itu dibuat kepada Messrs Lewis & Co bukan kepada pemaju? 

Narimah: Pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri. Saya tak boleh menolak arahan itu.

Saksi itu juga berkata beliau tidak pasti bahawa Messrs Lewis & Co adalah pemegang amanah yayasan itu. 

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel