-KzHeE1SZUU UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen


Tarikh kemaskini: 20/11/2019





KUALA NERUS, 20 Nov  -- “Bergraduat paling akhir namun penuh bermakna. Terima kasih UMT (Universiti Malaysia Terengganu) kerana merealisasikan impian saya”, kata Muhammad Fahim Shamsuddin.

Hajat anak kedua daripada tiga beradik itu untuk memakai jubah konvokesyen dan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) akhirnya tercapai dalam satu majlis yang diadakan khas untuk Muhammad Fahim di UMT petang ini.

Ucapannya sejurus menerima skrol ijazah itu menyentuh hati tetamu yang hadir apabila Muhammad Fahim mengimbas semula kenangan sedihnya yang kehilangan ibunya, Rahaya Abu, 50, pada tanggal 17 Nov sehingga tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen.

"Hari konvokesyen yang berlaku hanya sekali dalam seumur hidup saya bertukar menjadi hari yang paling menyedihkan. Tetapi, saya reda kerana sudah tiba ajalnya pada tika dan saat itu. Saya tiada kudrat untuk berbuat apa-apa.

"Dalam fikiran pula, sudah terbayang bahawa tidak mungkin lagi saya dapat menyarung jubah ini kerana saya sudah nekad tidak mahu hadir ke majlis konvokesyen, sebaliknya mahu menyempurnakan jenazah emak di kampung. 

"Namun, kawan saya sempat datang ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan memberi saya jubah itu untuk merakam gambar kenangan. Saya fikir itulah gambar terakhir saya dengan jubah ini, tak sangka UMT sanggup raikan saya dalam majlis yang sangat istimewa petang ini," katanya.

Luahan hiba Muhammad Fahim membuatkan lebih 100 tetamu terdiri kakitangan UMT dan pengamal media turut mengalirkan air mata.

Skrol ijazah itu disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar. Dalam majlis sama juga, Pusat Alumni UMT telah menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada ayah graduan itu, Shamsuddin Md Amin, 58, orang kurang upaya (OKU) yang kudung kaki dan tangan kanan akibat kemalangan 22 tahun lalu. 

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT pula menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada Muhammad Fahim hasil sumbangan daripada pensyarah dan kakitangan universiti itu.

Ibu Muhammad Fahim meninggal dunia di HSNZ pada pukul 12.20 pagi Ahad, hanya beberapa jam sebelum majlis konvokesyen bermula akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

Sementara itu, Nor Aieni berkata majlis khas itu diadakan kerana UMT mahu berkongsi kesedihan yang dialami Muhammad Fahim dan sebagai tanda keprihatinan UMT kepada alumninya.

UMT juga akan mencari dana untuk membuat kaki dan tangan palsu untuk ayah graduan itu bagi melancarkan pergerakan fizikalnya, katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel