Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan


Tarikh kemaskini: 20/11/2019





KUANTAN, 20 Nov  -- Kerajaan negeri Pahang dicadang mengenakan kadar sewaan tinggi kepada kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) jika mereka memuktamadkan lokasi tapak pelupusan kekal (PDF) bagi memproses sisa kilang di negeri ini.

Cadangan itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman adalah bagi membolehkan Pahang memperoleh manfaat maksimum daripada langkah membina PDF, yang dijadikan sebahagian daripada syarat lanjutan lesen operasi Lynas baru-baru ini.

“Jika benar sisa Lynas mempunyai kadar radioaktif minimal dan tidak membahayakan itu akan dilupuskan di negeri ini, maka ia adalah peluang memperoleh pendapatan baharu untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mohd Fadil berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Pembangunan dan Pembekalan Air 2019 di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau juga menyifatkan pemilihan tapak pelupusan itu di Pahang membawa maksud negeri ini telah melakukan pengorbanan kerana tiada negeri lain menawarkan kawasan mereka untuk dijadikan PDF,  membolehkan Pahang mendapat pulangan bagi perkara tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda mengesahkan Lynas telah mengemukakan permohonan untuk membina PDF yang kini dalam peringkat semakan oleh kerajaan negeri.

Abd Rahim yang tidak menyebut secara spesifik kawasan yang dimohon berkata kerajaan negeri juga mendengar pandangan pakar dan kementerian terlibat serta kerajaan Persekutuan dalam hal tersebut.

Pada 15 Ogos lepas, Lynas yang beroperasi di Gebeng di sini, menerima perlanjutan lesen operasi selama enam bulan dengan tiga syarat termasuk mengenal pasti tapak pembinaan kemudahan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA    


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel