Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA komited bantu petani dan usahawan keluar dari kemiskinan


Tarikh kemaskini: 03/12/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Alia Siti Khadijah Azhar

NIBONG TEBAL, 3 Dis -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan petani dan usahawan yang berdaftar dengan agensi itu.

Pengerusinjya Ishak Ismail berkata menerusi program Rezeki Tani FAMA, 50 usahawan dan petani di Semenanjung Malaysia dipilih setiap tahun untuk menerima barang-barang peralatan bagi membantu meningkatkan pendapatan dan produktiviti perniagaan mereka.

"Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan peserta melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.

"Selain itu, kita mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan-latihan di bawah program Rezeki Tani dan latihan teknikal," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah salah seorang penerima bantuan, di sini hari ini.

Beliau berkata para penerima dipilih melalui sistem e-Kasih terutamanya golongan miskin serta isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,614 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM650 dengan kadar maksimum bantuan bagi seorang peserta sebanyak RM10,000.

Ishak berkata keutamaan akan diberikan kepada calon berminat, berpengalaman dan berkemahiran yang sedang menjalankan aktiviti berkaitan pertanian, penternakan, perikanan dan pemprosesan produk berasaskan pertanian serta perniagaan tani. 

Tambahnya, setelah turun padang dan meninjau sendiri keadaan penerima bantuan pada hari ini, pihaknya akan terus membantu penerima dari segi pembungkusan, label, gred dan memasarkan produk di 320 program anjuran FAMA.

Sementara itu, salah seorang penerima, Shohaizam Shuib, 35, yang menerima bantuan peralatan bernilai RM8,600 terdiri daripada mesin adunan tepung, mesin leper dan tekap, meja anti karat dan kabinet serta peti sejuk beku melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan sekali gus membantu mengembangkan lagi perniagaannya.

Bekas jurutera kilang itu berkata beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan menjual karipap dan popia secara serius sejak Februari lalu.

"Setiap bulan kami memperolehi pendapatan sekitar RM700 sehingga RM1,000 setiap minggu daripada hasil jualan secara atas talian, pasar tani, pasar malam dan tempahan dari rakan-rakan dan keluarga terdekat. Kadang-kala kami terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana tidak sempat untuk menghasilkan karipap dan popia kerana kekurangan peralatan.

"Dengan bantuan sebegini, kami benar-benar bersyukur. Kalau sekarang kami dapat hasilkan 300 biji karipap dan popia, selepas ini mungkin dapat mencecah 900 biji dengan bantuan yang telah diberikan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel