Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Putu halba sambal daging tarikan baharu di musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 03/12/2019




KOTA BHARU, 3 Dis -- Jika dahulu, kuih putu halba yang ‘muncul’ ketika musim tengkujuh, hanya berintikan gula melaka, namun kini penjualnya semakin inovatif dengan memperkenalkan perisa baharu bagi kuih tradisional itu.

Suriana Che Hassan, 33, berkata bagi mencari sedikit kelainan, suaminya, Awi Mohd, 36, yang gemar menikmati serunding daging, memberi idea supaya beliau menjual putu halba berintikan sambal daging.

“Pada mulanya, saya teragak-agak untuk menerima idea berkenaan kerana khuatir dan tidak yakin untuk menjualnya kerana tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penjual sebelum ini.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan ia mendapat sambutan dan kebanyakan pembeli yang datang untuk merasainya buat kali pertama akan berkunjung pula untuk kali kedua dan seterusnya ke gerai saya," katanya kepada Bernama di gerai putu halbanya di Jalan Pulau Melaka di sini.

Ibu kepada dua anak itu berkata beliau menggunakan resepi turun-temurun keluarganya bagi menghasilkan kuih yang menggunakan ubi kayu itu dan mampu menjual sehingga 500 biji kuih dengan pendapatan kira-kira RM300 sehari.

Suriana berkata sejak awal pagi beliau yang dibantu suaminya akan menyediakan bahan-bahan untuk menghasilkan putu halba sebelum membuka gerai pada pukul 11 pagi.

“Kebiasaannya tidak sampai pukul 6 petang putu halba saya sudah habis dijual dan harga bagi putu halba biasa ialah RM1 bagi dua biji manakala putu halba sambal daging pula RM1 sebiji.

"Putu halba menjadi hidangan istimewa bagi penduduk di Kelantan untuk mengalas perut yang lapar ketika musim hujan dan sedap dimakan ketika masih panas,” katanya yang berniaga kuih itu sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, seorang pelanggan Rusdi Mohd Nasir, 43, berkata boleh dikatakan hampir setiap kali musim tengkujuh beliau akan berkunjung ke gerai Suriana untuk membeli putu halba sambal daging. 

“Setakat ini saya tidak pernah menemui putu halba sambal daging di tempat lain dan setiap kali teringin untuk menikmatinya saya akan datang ke gerai ini kerana bagi saya rasanya sangat sedap dan lain dari yang lain,” katanya. 

Seorang lagi pelanggan, Noor Sofea Qistina Abd Rahman, 29, berkata sebelum ini beliau hanya menikmati putu halba berintikan gula melaka namun terus menggemari putu halba berintikan daging ini selepas mencubanya kali pertama.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel