Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir


Tarikh kemaskini: 04/12/2019





PASIR MAS, 4 Dis  -- Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika mengharung banjir di depan rumahnya di Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Anak mangsa, Mohd Zunaidi Mohd Zulkifli, 27, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, bapanya, Mohd Zulkifli Yacob, 51, mengharung air banjir sedalam kira-kira 1 meter dan dikatakan mahu mengambil buah nona di sebatang pokok yang terletak 10 meter dari rumahnya.

"Arwah ayah dikatakan berpaut pada tiang elektrik sebelum terkena renjatan. Saya ketika itu tidak berada di rumah terus bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu.

"Ketika tiba di rumah, saya lihat jasad ayah terbaring di atas jalan dan dikerumuni penduduk kampung. Mereka beritahu ayah sudah tiada dan menghubungi polis dan bomba untuk bantu bawa keluar jenazah kerana kawasan kampung terkepung oleh air," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata berikutan keadaan banjir, jenazah ayahnya terpaksa diusung sejauh 1 kilometer dan dibawa menaiki jentera berat milik Pasukan Mencari dan menyelamat Khas Malaysia (SMART Team) untuk dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Katanya, jenazah bapanya mungkin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Deh kerana tanah perkuburan terdekat telah ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya polis masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan agensi berkaitan berhubung kematian mangsa.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel