Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018


Tarikh kemaskini: 07/12/2019





GEORGE TOWN, 7 Dis -- Sebanyak 384 kes rogol dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dari tahun 2014 hingga tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri Chong Eng.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 212 kes melibatkan mangsa yang berusia antara 13 dan 15 tahun.

“Ini adalah kes yang dilaporkan, terdapat begitu banyak kes yang tidak dilaporkan. Bagi setiap kes yang dilaporkan, sekurang-kurangnya lima kes tidak dilaporkan disebabkan malu dan takut,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian penutupan program 'Penang Goes Orange' (PGO) oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

PGO merupakan kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sejak tahun 2014  dalam usaha menghentikan keganasan seksual terhadap wanita.

Pada program itu, pelbagai aktiviti sukan lasak diadakan selain peserta turut berpeluang mempelajari mengenai isu keganasan seksual terhadap wanita untuk meningkatkan kesedaran para peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk bersuara demi kaum wanita dan beliau berbangga kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara jantina.

“Hak asasi bagi setiap orang adalah bebas daripada sebarang keganasan. Sehubungan itu, anda mengambil tindakan yang betul untuk menyokong gesaan supaya dihentikan keganasan terutamanya terhadap wanita dan gadis,” katanya.

PGO dilancarkan pada 17 Nov lepas di Padang Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth dengan perarakan yang disertai oleh ribuan peserta sejauh 2.6 kilometer.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel