Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor


Tarikh kemaskini: 07/12/2019





PEKAN, 7 Dis -- Sokongan keluarga menjadi faktor terpenting kepada Amir Suhaimi Hassan dalam usahanya mencapai keputusan cemerlang dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di DRB-HICOM University of Automotive Malaysia di sini. 

Amir Suhaimi, 49, yang merupakan graduan tajaan Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Pos Malaysia Bhd dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada majlis konvokesyen keenam universiti itu hari ini, selepas memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.97.

Bapa kepada enam anak berusia 21 hingga 10 tahun itu menyifatkan dirinya bertuah kerana sokongan keluarga khususnya daripada isteri membolehkan beliau membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan pelajaran. 

"Peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di sini merupakan peluang kedua selepas saya terpaksa melepaskan peluang belajar di luar negara pada tahun 1995 ekoran keadaan ekonomi dan selepas itu, keluarga menjadi keutamaan. 

"Rasa cemburu juga melihat ramai rakan yang menggenggam sarjana, sehingga secara tiba-tiba majikan bertanya jika saya berminat untuk melanjutkan pelajaran secara tajaan. Itu bagi saya adalah petanda bahawa masanya sudah tiba untuk saya berbuat demikian," katanya. 

Amir Suhaimi yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Pos Digicert berkata demikian pada sidang media selepas beliau bersama empat graduan cemerlang universiti menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Canselor universiti itu. 

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur kerana majikannya memberikan kelonggaran kepadanya untuk tidak ke pejabat sehari setiap minggu, memandangkan beliau yang bekerja di Cyberjaya perlu menghadiri kelas di Kuala Lumpur. 

Bagi penerima Anugerah Pencapaian Khas, Simon Wong Tian Bing, 20, beliau menyifatkan minat terhadap kereta sejak kecil menjadikan bidang automotif sebagai pilihan sehingga memilih jurusan Diploma dalam Teknologi Automotif di universiti itu. 

"Saya boleh membezakan jenis kereta sejak kecil...entah mengapa saya sentiasa tertarik dengan kereta dan keluarga semua mengetahui dan menyokong minat saya...mungkin pada pandangan saya, car is sexy," katanya sambil ketawa. 

Wong yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu memperolah CGPA 3.82 dan beliau juga pernah meraih Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2018 dan pingat emas dalam WorldSkills Belia Malaysia (WSBM) 2018 di bawah kategori Teknologi Automobil.

Ditanya mengenai 'rahsia' yang diamalkan Wong dalam belajar, beliau secara tersipu-sipu mengakui dirinya adalah 'individu saat-saat akhir' dan akan bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran beberapa hari sebelum peperiksaan. 

"Saya sedar agak banyak tidak menghadiri kelas kerana perlu menghadiri pelbagai latihan berkaitan kursus yang diambil. Tapi semasa di kampus, saya sentiasa bertanya kepada rakan dan pensyarah jika ada subjek yang saya ketinggalan," katanya. 

Penerima Anugerah Naib Canselor Noor Ikma Syazwana Paizan, 21, yang menamatkan pengajian dalam program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pula mengakui beliau berdepan kesukaran pada awal pengajian kerana jurusan itu asing baginya. 

Katanya, jurusan itu adalah pilihan ibunya dan sebagai anak, beliau menurut namun keputusan peperiksaan awal semesternya teruk sehingga beliau menangis mengadu kepada ibunya bahawa beliau tidak boleh melakukannya. 

"Tapi ibu mencabar saya...katanya saya boleh. Perlahan-lahan saya cuba membaiki keputusan peperiksaan kerana pada saya, ibu tahu apa yang terbaik dan sudah pasti beliau mengharapkan saya untuk berjaya. 

"Selepas beberapa semester dan menjalani latihan industri, saya semakin faham dengan jurusan yang diambil dan terus berminat. Malah, selepas ini, saya akan meneruskan pengajian dalam bidang keselamatan penerbangan," katanya. 

-- BERNAMA   


 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel