Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih


Tarikh kemaskini: 08/12/2019





PASIR MAS, 8 Dis -- Pekan Rantau Panjang yang sebelum ini lumpuh ditenggelami banjir sejak Ahad lepas kembali pulih apabila urusan jual beli mula beroperasi seperti sediakala.

Tinjauan Bernama mendapati, kira-kira lebih 2,000 premis perniagaan yang sebelum ini ditutup mula dibuka kembali kepada umum selepas air mulai surut. 

Seorang peniaga Norazimah Abdul Ghani, 32, berkata kedainya kembali beroperasi sejak dua hari lepas setelah air banjir yang menenggelamkan pekan itu mulai surut. 

Katanya, dia yang sudah berniaga lebih enam tahun di situ sudah biasa menghadapi banjir memandangkan hampir setiap tahun bah melanda pekan terbabit namun dia tetap membuat persediaan awal untuk mengelak sebarang kerugian. 

“Tiga hari sebelum air melimpah ke dalam pekan ini, saya sudah membuat persiapan dengan mengangkat dan menyimpan barangan jualan seperti tudung dan kain pakaian ke bahagian yang lebih tinggi agar ianya tidak ditenggelami air,” katanya ketika ditemui Bernama. 

Katanya, dia bersyukur walaupun air memasuki premisnya sehingga paras buku lali, namun ia tidak menjejaskan barangan jualan sekali gus tidak mengalami sebarang kerugian sepanjang banjir baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga pakaian Hayati Che Kob, 44, berkata dia bersyukur kerana dapat berniaga seperti sediakala selepas hampir seminggu tidak berniaga akibat banjir. 

“Walaupun air sudah surut, namun kami (peniaga) masih berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana biasanya banjir di sini akan mengalami gelombong kedua dan ketiga sebelum dapat menarik nafas lega.

“Saya berharap orang ramai akan kembali mengunjungi pekan ini memandangkan air sudah surut sepenuhnya, malah pekan ini juga lagi meriah apabila peniaga mengambil peluang untuk membuat lelongan barangan jualan murah kepada pelanggan sempena akhir tahun,” katanya. 

Akhbar pada Ahad lepas melaporkan Pekan Rantau Panjang lumpuh selepas dinaiki air sehingga satu meter yang menjejaskan keseluruhan aktiviti perniagaan setempat.

Pekan itu mula dinaiki air sejak pagi, menyebabkan semua premis perniagaan ditutup manakala laluan di pekan berkenaan turut ditutup kepada kenderaan ringan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel