Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba


Tarikh kemaskini: 08/12/2019





KUALA TERENGGANU, 8 Dis -- Nelayan yang hilang setelah bot dinaikinya karam di Kuala Dungun pagi semalam ditemukan lemas lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada pukul 10.20 pagi ini.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata mayat mangsa ditemui Polis Marin dan dihantar ke Hospital Dungun untuk urusan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 6.45 pagi tadi dengan penglibatan 60 anggota penyelamat dari pelbagai agensi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya, mahu turun ke laut menangkap ikan namun terpaksa berpatah balik apabila bot mereka dihempas ombak dan karam.

Bagaimanapun, dua rakannya Mohd Fadhil Jusoh, 39, dan Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sendiri ke pantai sambil berpaut dengan tong minyak, manakala mangsa terus hilang.

Sementara itu, isteri mangsa, Noor Azura Abdul Aziz, 38, berkata beliau reda dengan pemergian suaminya itu dan lega kerana akhirnya mayat berjaya ditemui.

"Dari semalam tertanya-tanya tentang nasib sebenar suami, berharap-harap dia selamat tapi bila dah jumpa ni, saya reda dengan ketentuanNya.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus mencari suami saya sejak pagi semalam," katanya yang mempunyai tiga anak iaitu Siti Nor Fazlieyanie, 14, Siti Nor Fazlieyana, 4, dan Afazliey, 2.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penggiat industri pelancongan Johor telah diberi taklimat berhubung koronavirus - Exco

 
     

Pengusaha cendawan turut terjejas akibat cuaca panas

 
     

Tapak relau peleburan besi purba ditemukan di Kedah

 
     

Usah biarkan warisan di Kota Bukit Supai terus sepi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel